Aston Martin DBX707 – SUV Mewah Paling Laju Di Dunia
Nampaknya pesaing terbaharu dalam segmen SUV mewah berprestasi tinggi sudah tiba dan ia bukan datang dari Jerman atau Itali, tetapi United Kingdom. Memperkenalkan, Aston Martin DBX707 yang didakwa oleh syarikat itu sebagai SUV mewah paling laju di dunia.
Secara asasnya, ia adalah versi DBX yang telah diberikan beberapa penambahbaikan mekanikal khusus untuk menyaingi model-model seperti Lamborghini Urus, Porsche Cayenne Turbo GT dan Range Rover SVR.
Sudah tentu, kebanyakan kerja penambahbaikan tertumpu pada enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG itu. Ini termasuk penggunaan sepasang pengecas turbo galas bebola (ball bearing), kalibrasi enjin dan juga sistem ekzos sport aktif baharu. Hasilnya adalah 707 PS dan 900 Nm, 157 PS dan 200 Nm lebih tinggi berbanding DBX.
Peningkatan kuasa yang signifikan itu cukup untuk membolehkan Aston Martin mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 4.5 saat kepada hanya 3.3 saat. Bukan itu sahaja, kelajuan maksimum turut meningkat dari 291 km/j kepada 310 km/j.
Selain kuasa dan tork yang lebih tinggi, prestasi DBX707 juga disumbangkan oleh transmisi automatik klac basah sembilan kelajuan baharu yang dikatakan lebih cepat dan responsif. Satu lagi komponen yang memainkan peranan adalah LSD elektronik (e-diff) yang ditala semula bagi mendapatkan ‘final drive’ yang lebih pendek iaitu 3.27.
Bukan itu sahaja, Aston Martin turut menala semua sistem suspensi udara untuk memperbaiki kawalan badan dan tindak balas stereng ketika mengambil selekoh. Ini diselaraskan dengan penambahbaikan yang dilakukan pada sistem Electronic Active Roll Control (eARC).
Tidak ketinggalan adalah sistem Dynamic Drive, di mana ciri Race Start kini boleh diakses menerusi mod GT Sport dan Sport+ untuk memaksimumkan prestasi pecutan dari keadaan pegun.
Sistem brek juga penting dan bagi memastikan DBX707 mampu berhenti secepat mungkin, Aston Martin menggunakan cakera karbon seramik berukuran 420 mm di depan dan 390 mm di belakang, serta angkup enam piston. Sistem ini bukan sahaja lebih kuat dan responsif, malah 40.5 kg lebih ringan berbanding brek yang digunakan oleh DBX.
Jadi, secara visual, bagaimana DBX707 boleh dibezakan daripada DBX? Sebagai model yang lebih berkuasa, DBX707 mendapat gril dan bukaan udara yang lebih besar, splitter dan spoiler baharu, serta muncung ekzos quad. Rim pula didatangkan dalam saiz 22 inci namun pelanggan boleh mendapatkan unit 23 inci.
Tema sporty ini diteruskan di dalam menerusi tempat duduk Sport yang boleh ditukarkan kepada kerusi Comfort jika pelanggan mahu. Semua tempat duduk didatangkan dengan pelarasan elektrik 16 hala dan fungsi pemanas depan dan belakang.
No Comment