BMW X4 Facelift Masuk Pasaran Malaysia – RM398,800
Selain BMW X3, BMW Malaysia turut sempat melancarkan versi coupe kepada model itu iaitu X4 facelift. Model pemasangan tempatan (CKD) ini boleh didapati dalam varian xDrive30i M Sport sahaja.
Seperti X3, ia tampil dengan gril ‘kidney’ lebih besar dengan sambungan perangkai di tengah, apron depan dalam rekaan baharu dengan salur udara menegak, bampar baharu, lampu depan LED yang lebih langsing sebanyak 10 mm.
Pakej M Sport dapat dilihat pada komponen salur masuk udara dan apron depan, berserta dengan tawaran warna, rim dan kemasan trim interior yang baharu.
Di dalam, terdapat skrin sentuh berukuran 10.25 inci, elemen bersadur zink pada corong udara, serta elemen kawalan baharu pada konsol tengah. Kelengkapan yang disertakan terdiri daripada BMW Live Cockpit Professional, Sistem Operasi BMW 7, Pembantu Peribadi Pintar BMW dan pakej BMW Connected sebagai opsyen.
BMW Intelligent Personal Assistant kini membolehkan pengguna membuka tingkap dan menyesuaikan sistem penyaman udara menggunakan arahan suara, manakala Peta BMW kini mempunyai tahap kejituan yang lebih tinggi dengan titik masuk destinasi serba ringkas dan perkembangan trafik yang lebih komprehensif.
X4 disediakan dalam warna Alpine White, Piemont Red, Phytonic Blue dan Carbon Black – kesemuanya dipadankan dengan upholsteri Leather Vernasca Black dengan sulaman berkontras. Sebagai alternatif, pelanggan boleh memilih Leather Vernasca Tacora Red untuk warna Alpine White dan Carbon Black.
Terletak di bawah bonet X4 xDrive30i ialah enjin TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder dengan 252 PS dan 350 Nm, sama dengan X3 xDrive30i. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda xDrive.
Bagaimanapun, tidak seperti X3 yang dilengkapi dengan sistem suspensi M Sport, X4 didatangkan standard dengan sistem suspensi adaptif.
Model ini juga didatangkan dengan sistem bantuan pemandu yang merangkumi Pembantu Pemandu yang menyediakan fungsi Amaran Penukaran Laluan, Amaran Pengeluaran Laluan, dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek sebagai standard.
X4 xDrive30i M Sport dijual pada harga RM398,800 (atas jalan, tanpa insurans) selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan.
No Comment