Ford Ranger Raptor Baharu Akan Diperkenalkan 22 Februari Ini
Nampaknya Ford Ranger Raptor generasi baharu akan membuat kemunculannya tidak lama lagi, hanya beberapa bulan selepas model asasnya iaitu Ranger diperkenalkan.
Ford telah mengesahkan bahawa model berprestasi tinggi itu akan didedahkan secara rasmi sepenuhnya pada 22 Februari ini menerusi saluran Youtube Ford of Europe.
Reka bentuk serta perincian teknikal Ranger Raptor masih menjadi rahsia namun seperti model terdahulu, ia dibangunkan oleh Ford Performance khusus untuk peminat off-road.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai teknologi yang lebih pintar yang ditugaskan untuk mengawal komponen-komponen yang lebih kuat.
Apa yang lebih menarik, model baharu ini dilaporkan akan hadir dengan enjin petrol EcoBoost 3.0-liter twin-turbo V6 yang turut digunakan oleh Bronco Raptor. Ini tidak mustahil kerana Ranger dan Bronco berkongsi platform yang sama.
Enjin tersebut dikatakan mempunyai lebih 400 hp, serta dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dan sudah tentu, sistem pacuan empat roda.
Untuk perbandingan, Ranger Raptor yang sedia ada dikuasakan oleh enjin diesel 2.0-liter BiTurbo yang menghasilkan 213 PS dan 500 Nm.
Dari segi reka bentuk, versi Raptor sudah pastinya akan tampil lebih agresif berbanding versi standard dengan tulisan ‘FORD’ yang besar pada gril, tayar off-road yang lebih besar dan gerbang roda yang lebih lebar. Ruang dalamannya juga akan dibezakan menerusi aksen merah pada stereng dan papan pemuka, serta tidak dilupakan logo Raptor.
No Comment