Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Ford Ranger Raptor Dapat Enjin EcoBoost Twin-Turbo V6 Baharu

Lewat tahun lalu, Ford Ranger serba baharu diperkenalkan dengan pelbagai teknologi terkini dan lebih banyak pilihan enjin. Kini, Ford kini memperkenalkan pula versi prestasi bagi trak pikap itu iaitu Ranger Raptor.

Model generasi kedua ini dibangunkan sepenuhnya oleh Ford Performance akan ditawarkan sebagai varian flagship dalam barisan Ranger baharu. Ia tampil dengan enjin petrol EcoBoost 3.0-liter twin-turbo V6 serba baharu yang menghasilkan 288 PS dan 491 Nm untuk pasaran Eropah.

Dibangunkan semata-mata untuk prestasi, enjin ini mempunyai blok silinder besi grafit yang dikatakan 75% lebih kuat dan kukuh berbanding enjin blok besi tradisional. Ia juga mempunyai sistem anti-lag seperti yang terdapat pada Ford GT dan Focus ST. Sistem itu boleh digunakan dalam mod Baja dan berfungsi untuk membuatkan pengecas turbo terus berputar selama tiga saat selepas pendikit dilepaskan.

Bagaimanapun, bagi pasaran luar Eropah seperti Australia dan Afrika Selatan, enjin yang sama ditala bagi menjana 397 PS dan 583 Nm, menunjukkan perbezaan sebanyak 109 PS dan 92 Nm berbanding versi Eropah. Selain itu, Ford berkata ia akan masih menawarkan enjin diesel 2.0-liter Biturbo yang digunakan oleh Ranger Raptor sedia ada.

Model baharu ini mengekalkan transmisi automatik 10 kelajuan namun menurut Ford, unit itu telah dioptimumkan bagi memastikan setiap gear mempunyai profil penggalak yang tersendiri.

Ford turut menyertakan sistem ekzos aktif yang dikawal secara elektronik yang dikatakan mampu menyerlahkan lagi bunyi enjin bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, sama ada Quiet, Normal, Sport atau Baja.

Di samping itu, casis jentera ini turut diberi penambahbaikan dalam bentuk cagak baharu, tiang C yang lebih kukuh, kerangka unik untuk jounce bumper, shock tower dan pendakap penyerap hentak belakang. Sistem suspensi juga telah direka semula dengan aluminium ringan. Sudah tentu, peredam Fox Live Valve digunakan bagi memberikan pengendalian maksimum.

Selain itu, terdapat juga sistem pacuan empat roda baharu yang dipadankan dengan transfer case dua kelajuan yang dikawal secara elektronik, serta locking differential pada gandar depan dan belakang.

Ford Ranger Raptor

Untuk sistem elektronik, Ranger Raptor kini mempunyai tujuh mod pemanduan yang ditugaskan untuk melaraskan enjin, transmisi, ABS, kawalan cengkaman dan kestabilan, injap ekzos, stereng, tindak balas pendikit serta tema warna paparan digital. Mod-mod yang disediakan adalah seperti berikut:

Road

  • Normal
  • Sport
  • Slippery

Off-road

  • Rock Crawl
  • Sand
  • Mud/Ruts
  • Baja
Ford Ranger Raptor

Dari segi penampilan, Ranger Raptor sudah tentu lebih menonjol berbanding Ranger standard. Ia memakai gril dengan tulisan FORD yang besar, gerbang roda yang lebih lebar, lampu LED Matrix, rim aloi 17 inci yang dibalut tayar all-terrain, pemijak sisi aluminium, serta pad pemijak dan bar tunda pada bampar belakang.

Ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk sport, aksen Code Orange pada panel instrumen, tempat duduk, corong pendingin hawa, gear dan sebagainya, stereng sport yang dibalut kulit dan juga paddle shifter yang diperbuat daripada magnesium. Sistem infohibur pula terdiri daripada kluster instrumen digital 12.4 inci, skrin sentuh 12 inci dengan SYNC4 dan sistem audio B&O dengan 10 pembesar suara.

Previous post

Harga Rasmi Mercedes-Benz S 580 e Diumumkan - RM698,744

Next post

BMW i7 Menjalani Ujian Akustik Di Munich

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *