Harga Honda City Hatchback RS e:HEV Diumumkan – RM107,783
Honda Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi Honda City Hatchback RS e:HEV yang dilancarkan bersama varian S, E dan V pada Disember tahun lalu.
Merupakan varian tertinggi dalam barisannya, City Hatchback RS e:HEV dijual pada harga RM107,783.09 (harga atas jalan tidak termasuk insurans). Ini menjadikannya kira-kira RM20,000 dan RM2,000 lebih mahal berbanding varian V (RM87,860) dan City RS e:HEV sedan (RM105,950).
City Hatchback RS e:HEV tampil sporty dengan penambahan kemasan hitam berkilat pada gril, ‘Solid Wing’ dan cermin sisi, di samping reka bentuk eksklusif pada gril bawah, kemasan lampu kabus dan bampar belakang.
Dari segi kelengkapan, ia hadir dengan lampu LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus depan LED, spoiler tailgate, lampu belakang LED serta rim aloi berukuran 16 inci sebagai pelengkap. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic dan Platinum White Pearl.
Ruang dalaman pula menampilkan balutan Ultrasuede pada tempat duduk, meter TFT tujuh inci, paparan audio lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto dan juga corong pendingin hawa belakang.
Aspek praktikaliti turut diberi perhatian menerusi tempat duduk ULTRA yang membolehkan pemandu mengkonfigurasikan tempat duduk dalam empat mod (Utility, Long, Tall atau Refresh) bergantung kepada keperluan.
City Hatchback RS e:HEV dikuasakan oleh enjin 1.5-liter intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang dipadankan dengan transmisi e-CVT. Gabungan ini menghasilkan 109 PS dan 253 Nm, tertinggi dalam segmennya dan setara dengan tork enjin kereta NA segmen D.
Turut disertakan bersama trenkuasa itu adalah sistem motor hibrid berkembar yang menyediakan tiga mod pemanduan iaitu EV, Hybrid dan Engine.
Selain itu, City Hatchback RS e:HEV juga merupakan satu-satunya varian dalam barisan City Hatchback yang didatangkan dengan Honda Sensing. Ia merangkumi ciri-ciri berikut:
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Collision Mitigation Braking System (CMBS)
- Forward Collision Warning (FCW)
- Lane Keep Assist System (LKAS)
- Road Departure Mitigation (RDM)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Auto High Beam (AHB
Turut disertakan adalah Honda LaneWatch, Electric Parking Brake, Remote Engine Start dan Honda Connect yang membolehkan pemilik berhubung dengan kereta mereka menerusi aplikasi telefon pintar.
No Comment