Honda HR-V Generasi Ke-3: Varian Mana Yang Kita Akan Dapat?
Sudah lebih sebulan sejak Honda Civic generasi ke-11 diperkenalkan ke pasaran kita, dan kini, tumpuan beralih ke model seterusnya yang akan dibawa masuk oleh Honda Malaysia iaitu Honda HR-V generasi ketiga.
Bagi rantau ASEAN, crossover kompak itu setakat ini telah dilancarkan di Thailand dan Singapura. Sudah tentu, ia akan tiba di Indonesia terlebih dahulu sebelum Malaysia namun berdasarkan pelancaran-pelancaran sebelum ini, jarak masa sepatutnya tidak melebihi tiga atau empat bulan, dengan syarat semua perancangan berjalan lancar.
Selain tarikh pelancaran, persoalannya di sini, varian HR-V manakah yang kita akan dapat? Sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk daripada Honda Malaysia berhubung perkara ini namun untuk mendapatkan sedikit idea, mari kita lihat penawaran HR-V di pasaran-pasaran negara jiran.
Di Thailand, HR-V ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu hibrid e:HEV yang menampilkan gabungan enjin kitaran Atkinson 1.5-liter empat silinder dengan sepasang motor elektrik. Dengan sendirinya, enjin tersebut menghasilkan 103 hp dan 127 Nm namun dua motor elektrik tersebut membantu meningkatkan kuasa keseluruhan kepada 129 hp dan 253 Nm.
Dengan e-CVT memacu roda hadapan, HR-V e:HEV mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.
e:HEV, yang juga akan dilancarkan di Australia pada separuh pertama tahun ini, boleh dikatakan varian yang masuk akal untuk pasaran kita bukan sahaja kerana penjimatan yang ditawarkan, malah ia juga dilihat sebagai pengganti kepada HR-V Hybrid yang ada sekarang.
Bercakap tentang Australia, dokumen pensijilan kerajaan negara itu mendedahkan bahawa ia juga akan mendapat pilihan enjin 1.5-liter empat silinder NA di samping varian e:HEV itu. Diposisikan sebagai varian entry-level, ia menawarkan 117 hp dan 142 Nm, 23 hp dan 30 Nm lebih rendah berbanding enjin 1.8-liter semasa.
Kemungkinan untuk varian ini masuk ke Malaysia boleh dikatakan sangat tipis disebabkan kuasanya yang terlalu rendah. Jadi, adakah hibrid e:HEV satu-satunya varian HR-V yang akan ditawarkan di negara ini?
Kami rasa tidak kerana Honda Malaysia pastinya ingin menawarkan varian petrol asli kepada pembeli tempatan. Oleh itu, syarikat itu mungkin mempertimbangkan untuk membawa masuk varian 1.5-liter VTEC Turbo, yang telah disahkan untuk pasaran Indonesia bersama dengan varian 1.5 NA dan e:HEV hibrid. Di dalam Civic, enjin tersebut menjana 182 PS dan 240 Nm, serta dipadankan dengan CVT.
Jika ini menjadi kenyataan, barisan model HR-V pastinya akan menyaksikan peningkatan harga seperti yang terjadi pada Civic baharu. Namun begitu, kami yakin ia tidak akan menjejaskan permintaan serta statusnya sebagai salah satu crossover paling popular di Malaysia.
No Comment