Hyundai Casper Van – Kenderaan Komersial Paling Comel?
Masih ingat dengan Hyundai Casper yang kecil molek itu? Beberapa bulan selepas ia diperkenalkan, Hyundai kini memperkembangkan barisannya menerusi model kenderaan komersial ringan (LCV) yang dikenali sebagai Casper Van.
Dari luar, ia kelihatan sama sahaja dengan versi standard dengan lampu nyalaan siang yang langsing di bahagian atas dan lampu utama LED berbentuk bulat yang diintegrasikan ke dalam gril. Cuma, ia didatangkan dengan rim lebih kecil berukuran 15 inci dalam rekaan yang berbeza.
Perubahan utama boleh didapati di dalam kabin, di mana kerusi belakang telah dikeluarkan bagi mewujudkan ruang kargo berkapasiti 940 liter. Untuk tujuan keselamatan, Hyundai turut memasang bar besi pada ketiga-tiga cermin belakang, serta penghadang.
Sebagai model yang dibangunkan khusus untuk tujuan komersial, Casper Van kehilangan beberapa kelengkapan mewah yang ada pada varian standard seperti skrin sentuh sistem infohibur. Namun, ciri-ciri standard yang disertakan tidak kurang hebatnya iaitu kluster instrumen digital 4.2 inci, port USB, Bluetooth, dua pembesar suara serta sensor parkir.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai sistem-sistem bantuan pemandu termaju termasuk, Cruise Control, Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist dan High Beam Assist.
Hyundai turut menawarkan beberapa kelengkapan opsyen seperti upholsteri kulit (600,000 won atau RM2,900), stereng dengan fungsi pemanas dan cermin boleh malap (330,000 won atau RM1,150), bampar dari Casper Active (950,000 won atau RM3,310) dan juga rak bumbung besi keluaran Thule (550,000 won atau RM1,920).
Namun, sayangnya tiada pilihan enjin turbo seperti varian standard kerana Casper Van hanya boleh didapati dengan enjin NA 1.0-liter tiga silinder yang menghasilkan 76 PS dan 95 Nm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda depan.
Harganya bermula dari 13,850,000 won atau kira-kira RM48,290 mengikut pertukaran semasa. Setakat ini, tidak pasti sama ada model ini akan dipasarkan di luar Korea Selatan atau tidak.
No Comment