Kerajaan Beri Insentif Pengecualian LKM Untuk EV dan Kenderaan OKU
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia kini melaksanakan pemberian insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya untuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan motor orang kelainan upaya (OKU).
Dalam satu hantaran Facebook yang dibuat pada 14 Februari 2022, Wee memaklumkan bahawa EV menikmati tempoh pengecualian itu dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.
Pengecualian fi LKM bagi EV hanyalah melibatkan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya sahaja, sama ada yang dikuasakan dengan bateri atau sel bahan api (fuel cell).
Selain itu, pengecualian ini tidak terpakai kepada mana-mana kenderaan motor jenis hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahupun diesel.
Tambah beliau lagi, permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini dibuka mulai 15 Februari 2022.
Sementara itu, pengecualian fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan motor OKU hanya terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubahsuai khas untuk kegunaan OKU.
Bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai, pengecualian hanya akan diberikan kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan kereta nasional sahaja.
“Kenderaan motor terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau menambah bahawa pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan atau dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami/isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM. Permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini adalah mulai pada 15 Mac 2022.
Wee berkata mana-mana pemilik kenderaan yang layak mendapat pengecualian tersebut yang telah melesenkan kenderaan mereka mulai 1 Januari 2022, iaitu sebelum tarikh permohonan dibuka, boleh menyerahkan sebelum LKM tersebut ke kaunter JPJ dan berhak dibayar rebat dalam amaun sebagaimana yang ditetapkan.
Seterusnya, pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM semula ke atas kenderaan mereka.
No Comment