Modenas Karisma 125S Masuk Pasaran Malaysia – RM5,397
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperkenalkan model skuter terbaharu Modenas Karisma 125S untuk pasaran tempatan. Ia dijual pada harga RM5,397 (tanpa insurans dan cukai jalan) dan boleh didapati di semua wakil pengedar MODENAS bermula bulan ini.
Karisma 125S dikuasakan oleh enjin 4 lejang bersesaran 124.8 cc silinder tunggal yang menepati piawaian Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan Euro 4. Dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api, enjin tersebut menghasilkan 9.5 PS (7 kW) pada 7,500 rpm dan 10 Nm pada 6,000 rpm. Bahan api disimpan di dalam tangki berkapasiti 5.1 liter.
Dari segi penampilan, Karisma 125S kini boleh didapati dalam tiga pilihan warna baharu iaitu Mystic Red, Duchess Gold dan Aqua Blue. Ia juga dihiasi dengan grafik baharu yang direka khas untuk penggemar konsep gaya hidup urban.
Kelengkapan standard yang disertakan adalah lampu depan jenis LED yang dihiasi dengan lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyart LED untuk bahagian depan dan belakang, serta reka bentuk meter yang moden dengan tolok paras bahan api digital. Sistem kunci pula dilengkapi dengan suis untuk membuka tempat duduk bagi memberikan akses kepada ruang simpanan sebesar 14 liter.
Untuk kemudahan penunggang, model ini juga didatangkan dengan dua ruang simpanan kecil pada bahagian depan, soket pengecas USB pada papan pemuka untuk mengecas peranti pintar, serta lampu kecemasan untuk digunakan semasa kecemasan.
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Sambutan untuk motosikal jenis skuter pada masa kini sedang meningkat, dan kami sebagai sebuah syarikat pengeluar motosikal tidak akan melepaskan peluang ini. Dengan adanya produk terbaharu ini, MODENAS dapat mengembangkan lagi pasaran skuter di Malaysia.”
Karisma pertama kali dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2003, ketika MODENAS mula memasuki segmen skuter. Sejak itu, ia mendapat sambutan hangat dan dikenali sebagai skuter 125 cc yang berbaloi serta mampu milik. Pada 2016, model facelift dilancarkan dan untuk tahun ini, ia kembali dilancarkan sebagai Karisma 125S.
No Comment