Ini Rupa Kenderaan Elektrik Bateri Lexus RZ 450e Yang Akan Datang
Dalam siaran akhbar prestasi jualan global 2021 mereka, Lexus turut sempat menyiarkan beberapa keping gambar kenderaan elektrik bateri (BEV) mereka yang akan datang iaitu RZ 450e. Bentuk keseluruhannya hampir sama dengan Toyota bZ4x dan Subaru Solterra bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana seperti kedua-dua model itu, ia turut dibangunkan berasaskan platform e-TNGA.
Walau bagaimanapun, RZ 450e menampilkan penggayaan yang tersendiri yang lebih sesuai dengan imej mewah Lexus. Malah, rekaannya tidak jauh berbeza dengan kereta konsep LF-Z Electrified yang didedahkan pada tahun lalu, cuma kebanyakan garisannya telah ‘dilembutkan’ sedikit. Ini ialah amalan biasa di kalangan pengeluar kenderaan apabila menukar kereta konsep menjadi model produksi.
Apabila ia memasuki pasaran, RZ 450e boleh dibezakan dengan kembar Toyobaru itu menerusi rekaan lampu hadapan yang lebih tajam, gril “spindle body”, tiang C berwarna hitam dan juga lampu belakang yang merentangi pintu tailgate dan memanjang sehingga ke fender. Bukan itu sahaja, kemasan hitam di sekeliling gerbang roda juga lebih nipis berbanding kedua-dua model itu.
Lexus masih lagi belum menyiarkan gambar ruang dalaman model ini namun kami menjangkakan yang ia akan tampil dengan teknologi dan material serta kemasan yang lebih berkualiti dan mewah. Terdapat satu video yang menunjukkan presiden Lexus, Koji Sato dipandu mengelilingi sebuah litar ujian di dalam prototaip RZ oleh Akio Toyoda namun tidak banyak rekaan kabin yang dapat dilihat menerusinya.
Perincian teknikal juga masih menjadi persoalan ketika ini namun RZ dijangka mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding bZ4x dan Solterra. Selain itu, ia berkemungkinan besar hadir dengan sistem pacuan semua roda Direct4, bermakna ia mempunyai sekurang-kurangnya satu motor elektrik pada setiap gandar.
No Comment