Subaru BRZ, Toyota GR86 Kini Ditawarkan Dalam Versi Cup Car Basic
Subaru dan Toyota telah memperkenalkan BRZ dan GR86 ‘Cup Car Basic’, varian asas yang dibangunkan khas untuk siri perlumbaan ‘one-make’ Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Cup yang akan membuka tirainya pada 16 Julai 2022 di Litar Fuji Speedway.
Apakah yang menjadikan jentera Cup Car Basic ini berbeza daripada versi standard? Untuk reka bentuk luaran, hanya satu komponen yang diubah iaitu rim, di mana model yang dibangunkan untuk perlumbaan ini didatangkan dengan rim besi berwarna hitam.
Jangan berasa pelik pula kerana penggunaan rim ini akan memberikan pembeli kebebasan untuk memilih rim sport yang lebih sesuai untuk digunakan di litar lumba.
Kebanyakan kelengkapan pada ruang dalaman masih dikekalkan, kecuali beg udara sisi dan tirai yang telah dikeluarkan untuk memuatkan roll cage. Turut disertakan adalah bolt untuk memasang tali pinggang keledar enam poin pada tempat duduk pemandu dan juga karpet lantai khas.
Kedua-dua jentera Toyobaru ini masih dikuasakan oleh enjin boxer 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm pada 3,700 rpm. Satu-satunya transmisi yang ditawarkan untuk versi ini adalah manual enam kelajuan.
Namun untuk prestasi penyejukan yang lebih baik, ia kini dilengkapi dengan penyejuk minyak bendalir dan sirip penyejuk pada perumah Limited-Slip Differential (LSD) belakang.
Hanya boleh didapati di Jepun, BRZ Cup Car Basic dijual pada harga 3,338,500 yen (RM120,700) manakala GR86 Cup Car Basic pula berharga 3,334,000 yen (RM120,540).
No Comment