Toyota GR Corolla Bakal Hadir Dengan AWD, Transmisi Manual
Toyota GR Yaris mendapat permintaan yang amat menggalakkan, dengan tempahan penuh untuk dua tahun (2021 dan 2022) dalam masa beberapa bulan sahaja selepas pelancarannya, sekaligus memaksa Toyota untuk membuka tempahan baharu untuk penghantaran 2023.
Kini, syarikat dari Jepun itu ingin mengulangi kejayaan yang sama dengan satu lagi model berprestasi tinggi iaitu GR Corolla.
GR Corolla telah menjadi buah mulut peminat sejak beberapa bulan yang lalu dan dengan adanya maklumat-maklumat yang tersedia dalam talian, kami mungkin mempunyai sedikit gambaran mengenai hot hatch Toyota yang seterusnya ini.
Pertama sekali, kereta itu dibangunkan berasaskan Corolla Hatchback pasaran Eropah dan ia dijangka akan ditawarkan dalam bentuk hatchback sahaja. Namun begitu, GR Corolla versi sedan dan wagon (digelar sebagai Touring di Jepun) sangatlah dialu-alukan.
Dari segi penggayaan, ia dijangka tidak terlalu berbeza dengan GR Yaris, bermakna ia akan tampil dengan gerbang roda yang lebar, bukaan yang luas pada bampar hadapan untuk prestasi penyejukan yang optimum, spoiler bumbung, serta diffuser belakang yang menempatkan sepasang muncung ekzos berbentuk bulat.
Tahun lalu, Toyota USA pernah menyiarkan teaser untuk GR Corolla. Walaupun kereta itu agak tersembunyi dari pandangan, ia jelas mempunyai bukaan yang luas pada bahagian hadapan.
Di sebalik reka bentuk luarannya, GR Corolla dilaporkan akan mengekalkan suspensi depan jenis MacPherson dari model standard dan suspensi belakang jenis multi-link dari GR Yaris. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan GR Yaris sendiri dibina berasaskan platform TNGA-B yang menggabungkan bahagian belakang TNGA-C yang digunakan oleh Corolla.
GR Corolla akan dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6-liter turbo tiga silinder yang akan ‘diperah’ oleh Toyota untuk mendapatkan kuasa kuda dan tork yang lebih tinggi. Bercakap mengenai kuasa, syarikat itu boleh sahaja menala enjin tersebut untuk menghasilkan sekitar 315 PS dan 400 Nm sekiranya mereka ingin bersaing dengan Volkswagen Golf R.
Ini kerana enjin tersebut dikatakan boleh menampung kuasa dan tork setinggi 375 PS dan 450 Nm dalam GR Yaris WRC. Namun seperti yang anda mungkin tahu, jentera rali itu tidak sempat bertanding pun akibat penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan perancangan Toyota.
Tugas untuk menyalurkan kuasa ke roda akan diserahkan kepada transmisi manual enam kelajuan yang akan digandingkan dengan sistem pacuan semua roda iaitu GR-Four. Di dalam GR Yaris, sistem tersebut boleh menyalurkan sehingga 70% tork ke roda belakang dalam mod Sport. Dalam mod Normal, 60% tork disalurkan ke roda depan manakala mod Track pula akan membahagikan tork secara sama rata.
No Comment