Toyota GR Supra Ini Boleh Drift Dengan Sendiri
Teknologi pemanduan autonomi telah menunjukkan keberkesanannya dalam melakukan tugasan-tugasan seperti menukar lorong, memandu mengikut aliran trafik, masuk dan keluar dari petak parkir dan sebagainya. Namun mampukah ia melakukan aksi drift?
Inilah yang cuba dibuktikan oleh Toyota Research Institute (TRI) baru-baru ini menerusi sebuah Toyota GR Supra yang dikatakan boleh melakukakan aksi berbahaya itu tanpa sebarang input daripada pemandu.
Apa yang menarik, kajian ini dilakukan bukan untuk tujuan suka suka, sebaliknya bagi membangunkan sistem pemanduan autonomi yang mampu bertindak dalam situasi kecemasan seperti mengelak perlanggaran atau mengawal kenderaan daripada terbabas.
Supra yang digunakan dalam kajian ini telah diubah suai sepenuhnya dan dilengkapi dengan sistem komputer Nonlinear Model Predictive Control (NMPC) yang boleh mengawal stereng, pendikit, gear serta brek individu.
Menurut Toyota, sistem ini dibangunkan dengan kerjasama Dynamic Design Lab di Universiti Stanford serta pemandu-pemandu profesional termasuk lagenda drift Ken Gushi. Ia dikatakan boleh melakukan pengiraan trajektori sebanyak 20 kali sesaat.
Demonstrasi ini dilakukan di litar Thunderhill Raceway di California dan walaupun masih mempunyai pemandu di tempat duduknya, kereta tersebut mampu melakukan aksi drift dengan sendirinya apabila suis ‘Engage’ dihidupkan.
Pengurus kanan Unit Kajian Pemanduan Berpusatkan Manusia TRI, Avinash Balachandran berkata, “Di TRI, sasaran kami adalah untuk menggunakan teknologi canggih yang boleh membantu dan menguatkan manusia, bukan menggantikan mereka.”
“Menerusi projek ini, kami memperkembangkan aspek di mana kereta boleh di kawal, dengan sasaran untuk memberikan pemandu biasa refleks naluri pelumba profesional untuk membolehkan mereka mengawal kenderaan dalam situasi kecemasan yang mencabar dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” tambah beliau.
No Comment