4 Model Mitsubishi Dapat Aksesori Ralliart Di Jepun
Kebangkitan semula jenama Mitsubishi Ralliart diteruskan dengan pelancaran set aksesori eksklusif untuk empat model Mitsubishi yang dijual di Jepun iaitu Outlander PHEV, Eclipse Cross, RVR (juga dikenali sebagai Outlander Sport atau ASX) dan Delica D:5.
Daripada tiga crossover tersebut, model yang terkecil iaitu RVR mendapat pakej skid plate yang merangkumi skid plate depan dan skid plate dua bahagian untuk bampar belakang. Turut disertarkan adalah penghadang lumpur, pelekat sisi, spoiler tailgate dan karpet lantai.
Sementara itu, Outlander PHEV mendapat set aksesori yang hampir sama cuma dengan penambahan kemasan untuk bampar depan dan belakang dan skirt sisi. Set untuk Eclipse Cross juga tidak jauh berbeza. Menariknya, Delica D:5 pula merupakan satu-satunya model yang didatangkan dengan cermin sisi Ralliart berwarna merah.
Sebagai tambahan, Mitsubishi turut menawarkan beberapa aksesori umum seperti bingkai dengan kemasan krom gelap untuk plat nombor pendaftaran, set bolt untuk bingkai plat nombor pendaftaran, set nat berwarna hitam dan juga butang penghidup enjin dengan logo Ralliart.
Turut ditawarkan ialah koleksi barangan rasmi Ralliart yang terdiri daripada jaket, dompet, rantai kunci, topi, pelindung muka dan pelbagai lagi.
Kebangkitan semula jenama Ralliart diumumkan pada tahun lalu namun setakat ini, Mitsubishi hanya melancarkan set-set aksesori untuk model-model keluarannya yang sedia, tanpa kelibat pakej prestasi seperti yang diharapkan ramai.
Awal tahun ini, syarikat itu memperlihatkan model konsep Vision Ralliart di Tokyo Auto Salon 2022 namun setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai hala tujunya.
No Comment