Berakhirnya Era Subaru WRX STI Dengan Enjin Pembakaran Dalam
Deruman enjin boxer empat silinder WRX STI yang cukup ikonik itu tidak akan didengari lagi selepas ini selepas Subaru mengesahkan yang ia tidak akan menawarkan “enjin pembakaran dalaman WRX STI generasi seterusnya” pada platform WRX sedia ada.
Dalam satu kenyataan, pengeluar kenderaan dari Jepun itu berkata langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mematuhi “peraturan dan keperluan untuk gas rumah hijau (GHG), kenderaan sifar emisi (ZEV) dan Purata Ekonomi Bahan Api Korporat (CAFÉ).”
Bagaimanapun, ini tidak bermakna riwayat jentera yang diinspirasikan oleh sukan rali itu akan berakhir kerana menurut Subaru, mereka sedang meneroka pelbagai peluang untuk model WRX STI generasi seterusnya, termasuk elektrifikasi.
Tiada sebarang maklumat lanjut diberikan namun kenyataan tersebut secara tidak langsung memberi gambaran kemungkinan WRX STI mendapat trenkuasa elektrik sepenuhnya atau hibrid. Berita ini pastinya akan menyakitkan hati peminat model itu di serata dunia namun seperti yang sudah diperkatakan sebelum ini, elektrifikasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.
Apa pendapat anda?
No Comment