Geely Emgrand Dilancarkan Di Filipina – Harga Bermula RM65k
Pada Ogos tahun lalu, Geely Emgrand generasi keempat telah dilancarkan ke pasaran China. Hari ini, sedan segmen B itu tiba di Filipina, di mana ia akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu S, Comfort dan Premium. Ia merupakan produk Geely yang keempat di negara itu selepas Azkarra, Coolray dan Okavango.
Kami telah menulis tentang kereta itu sebelum ini namun untuk mengimbas kembali, Emgrand dibina berasaskan platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang turut digunakan oleh Coolray a.k.a. Proton X50 dan juga beberapa model Geely yang lain.
Sedan itu mempunyai ukuran panjang 4,638 mm, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi, dengan tapak roda sepanjang 2,650 mm, menjadikannya lebih besar berbanding Honda City dan Toyota Vios.
Dari segi penampilan, ciri Emgrand yang paling menonjol ialah gril radiator Energy Pulse, yang diapit oleh lampu projektor LED automatik lengkap dengan lampu nyalaan siang LED bagi varian Comfort dan Premium.
Lampu belakang mempunyai 190 mentol LED, manakala bampar pula dilengkapi dengan diffuser bagi memberikannya imej yang sporty. Dua varian teratas itu didatangkan dengan rim aloi 17 inci, manakala varian S sekadar mendapat rim keluli 15 inci.
Di dalam, rekaan kabin yang ringkas dikekalkan namun skrin sentuh berukuran 10.25 inci yang disertakan pada model pasaran domestik China nampaknya telah digantikan dengan skrin lapan inci yang didatangkan standard pada semua varian.
Sebagai varian tertinggi, Emgrand Premium didatangkan dengan pelbagai kelengkapan tambahan seperti kluster instrumen digital 12.3 inci, upholsteri leatherette/suede berwarna putih dan biru, bumbung suria, enam pembesar suara dan ciri pelarasan kuasa enam hala pada tempat duduk pemandu.
Ketiga-tiga varian Emgrand dikuasakan oleh enjin NA 1.5-liter empat silinder dengan Dual Continuous Variable Valve Timing (DVVT). Untuk pasaran Filipina, enjin tersebut menghasilkan 102 PS pada 5,600 rpm dan 142 Nm, lebih rendah berbanding model spesifikasi China yang mempunyai 114 PS dan 147 Nm.
Untuk transmisi, varian Comfort dan Premium didatangkan dengan transmisi CVT dengan lapan nisbah maya, manakala varian S pula mendapat transmisi manual lima kelajuan.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri-ciri standard seperti ABS dengan EBD, ESP, Traction Control, Hill Hold Control dan Tyre Pressure Monitoring System. Kamera undur, sensor parkir belakang dan Cruise Control hanya disertakan pada varian Smart dan Premium, manakala beg udara sisi depan dan tirai sisi hanya terdapat pada varian Premium, menjadikan enam beg udara kesemuanya.
Untuk harga, Emgrand Comfort dijual pada harga 798,000 peso Filipina (RM65,193), manakala varian Premium berharga 908,000 peso Filipina (RM74,180). Bagaimanapun, harga untuk varian S masih lagi belum diumumkan.
No Comment