GWM TANK 500 – Alternatif Kepada Toyota Land Cruiser?
Toyota Land Cruiser generasi baharu ialah antara SUV berorientasikan off-road yang terbaik di pasaran namun dengan senarai menunggu selama empat tahun, lebih baik melihat pilihan lain kerana apabila anda menerima kereta anda kelak, mungkin sudah terdapat versi baharu. Bercakap tentang pilihan, mereka yang ada di China mungkin boleh mempertimbangkan Great Wall Motors TANK 500.
Diperkenalkan buat pertama kali di Chengdu Motor Show 2021 pada September lalu, TANK 500 merupakan produk terbaharu TANK, sebuah sub-jenama off-road premium milik Great Wall Motors. Di pasaran negara mereka, SUV itu ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga dari 335,000 hingga 395,000 yuan (RM221,120 hingga RM260,730).
Tidak kira varian apa yang dipilih, TANK 500 dikuasakan oleh enjin petrol 3.0-liter turbo V6 dengan kuasa sebanyak 354 PS dan 500 Nm – boleh tahan hebatnya memandangkan Land Cruiser mempunyai 415 PS dan 650 Nm dari enjin 3.5-liter V6 yang dilengkapi dengan sepasang pengecas turbo.
Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik sembilan kelajuan yang digandingkan dengan transfer case dan differential pada bahagian depan, tengah dan belakang. Atas kertas, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat dan mencapai tahap penggunaan bahan api 10.79 liter bagi setiap 100 km.
Dari segi penampilan, rupa paras TANK 500 tidaklah begitu tampan namun rekaannya boleh dikatakan kelihatan lasak dan bertenaga, dengan beberapa sentuhan premium seperti penyudah krom dan warna luaran dua tona ala Maybach untuk menarik perhatian pembeli. Varian yang lebih sporty turut didatangkan dengan pemegang tayar ganti pada bahagian tailgate.
Untuk dimensi pula, SUV ini mempunyai ukuran panjang 4,878 mm, lebar 1,934 mm dan tinggi 1,905 mm, dengan tapak roda sepanjang 2,850 mm, sekaligus meletakkannya setara dengan Land Cruiser 300 Series yang bersaiz lebih besar sedikit. Kebolehan off-road pula disumbangkan oleh sudut pendekatan 29.6 darjah, sudut pelepasan 24 darjah, jarak lega tanah 224 mm dan fungsi-fungsi lain seperti ‘Tank U-Turn’ dan mod ‘Creep’.
Di dalam, TANK 500 tampil mewah dengan balutan kulit premium berwarna biru gelap pada stereng dan papan pemuka. Warna ini dikontraskan dengan kemasan kayu coklat gelap dan trim krom, kedua-duanya digunakan secara meluas pada papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu. Model ini juga dilengkapi dengan tombol gear dengan rekaan unik.
Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah skrin sentuh sistem infohibur berukuran 14.6 inci, kluster instrumen digital 12.3 inci, serta sistem-sistem bantuan pemandu seperti Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning, Lane Keeping, Road Traffic Sign Recognition, Adaptive Cruise Control dan kamera 360 darjah.
No Comment