Honda City, Accord Dapat Pilihan Warna Baharu
Honda Malaysia hari ini memperkenalkan pilihan warna baharu untuk model terlarisnya iaitu City dan juga model flagship Accord, bagi memberikan lebih banyak pilihan yang menarik kepada pelanggan mereka.
Kedua-dua model tersebut kini boleh didapati dalam warna Meteoroid Gray Metallic yang menggantikan warna Modern Steel Metallic yang sedia ada, manakala City juga mendapat pilihan warna Ignite Red Metallic bagi menggantikan warna Passion Red Pearl.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata bahawa warna Ignite Red Metallic dan Meteroid Gray Metallic diperkenalkan buat pertama kali pada City Hatchback. Berikutan sambutan yang menggalakkan, kedua-dua warna tersebut diperkenalkan pada Civic serba baharu dan kini, ia ditawarkan pada City dan Accord pula.
Menurut Honda Malaysia, setakat ini terdapat lebih 32,500 unit City generasi kelima di jalan raya sejak ia dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Ia merupakan model terlaris syarikat itu bagi bulan Januari dan Februari 2022 dengan sumbangan 38% kepada jumlah keseluruhan jualan.
Varian tertinggi iaitu City RS e:HEV dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menghasilkan 109 PS dan 253 Nm, manakala varian-varian petrol iaitu V-Sensing, V, E dan S tampil dengan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC dengan 121 PS dan 145 Nm.
Sementara itu, Accord generasi ke-10 dilancarkan di Malaysia pada 2020 dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbocharged yang mampu menghasilkan 201 PS dan 260 Nm. Kira-kira 2,200 unit Accord telah terjual setakat ini.
No Comment