Hyundai Ioniq 5 Dibuka Untuk Tempahan Di Malaysia
Berikutan sambutan hangat yang diterima untuk Kona Electric tahun lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan yang ia akan melancarkan satu lagi kenderaan elektrik (EV) ke pasaran tempatan iaitu Ioniq 5.
Menurut syarikat itu, Ioniq 5 kini dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran Hyundai dengan yuran hanya RM1,000. Pelanggan juga boleh membuat tempahan secara dalam talian menerusi platform Cl!ck to Buy.
Dibangunkan menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP), Ioniq 5 akan ditawarkan dengan dua pilihan pek bateri iaitu 58 kWh (Standard Range) atau 72.6 kWh (Long Range), sama ada dengan satu (RWD) atau dua motor elektrik (AWD).
Berikut adalah ringkasan spesifikasi:
Standard Range
- RWD: 170 PS/350 Nm, 0-100 km/j: 8.5 saat
- AWD: 233 PS/605 Nm, 0-100 km/j: 6.1 saat
Long Range
- RWD: 217 PS/350 Nm, 0-100 km/j: 7.4 saat
- AWD: 305 PS/605 Nm, 0-100 km/j: 5.2 saat
Semua versi mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 185 km/j. Untuk jarak pemanduan pula, versi Long Range RWD dikatakan boleh mencapai jarak sejauh 481 km dengan satu cas penuh.
Selain teknologi pengecasan pantas, Ioniq 5 turut dilengkapi dengan ciri Vehicle-2-Load (V2L) berkapasiti 3.6 kW yang boleh digunakan untuk mengecas apa sahaja perkakasan elektrik termasuk peralatan perkhemahan.
Tarikh pelancaran model ini masih belum diumumkan, namun pelanggan boleh melihat bayangan model ini dengan lebih dekat di pusat beli-belah 1 Utama dari 2 hingga 6 Mac.
No Comment