Hyundai Ioniq 5 Masuk Pasaran Malaysia – Harga Dari RM199k
Dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mempromosikan kenderaan elektrik (EV) di negara ini, syarikat-syarikat kenderaan mula mengambil kesempatan dengan membawa masuk pelbagai model elektrik yang menarik ke pasaran tempatan.
Salah satu daripada syarikat tersebut ialah Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), yang memulakan strategi ofensif elektrik mereka dengan Hyundai Kona Electric pada November tahun lalu. Kini, HSDM melancarkan satu lagi model EV iaitu Ioniq 5.
Seperti Kona Electric, Ioniq 5 tiba di Malaysia dalam tiga spesifikasi iaitu Lite, Plus dan Max. Harga (OTR tidak termasuk insurans, dengan pengecualian duti eksais, duit import dan cukai jalan) adalah seperti berikut:
- IONIQ 5 Lite – RM199,888
- IONIQ 5 Plus – RM229,888
- IONIQ 5 Max – RM259,888
Waranti standard untuk kenderaan adalah selama dua tahun/50,000 km, manakala waranti untuk bateri pula adalah selama lapan tahun/160,000 km.
Pelanggan boleh mendapatkan pakej-pakej yang ditawarkan secara opsyen seperti berikut:
- Waranti lanjutan dan pakej servis: RM10,000. Pakej ini menaik taraf waranti standard kepada lima tahun 100,000 km dan servis untuk tiga tahun/50,000 km. Bagaimanapun, waranti bateri tidak berubah.
- Stesen pengecas AC 7kW dengan pemasangan standard: RM6,000.
- Stesen pengecas AC 22 kW dengan pemasangan standard: RM7,000.
Dari segi spefisikasi, Ioniq 5 Lite dan Ioniq 5 Plus merupakan model pacuan roda belakang (RWD) yang dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 58 kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 384 km. Motor elektrik tunggalnya menjana 168 hp dan 350 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.5 saat. Pengecasan dari 0 hingga 100% mengambil masa lima jam menerusi pengecas AC 11 kW.
Sementara itu, spesifikasi tertinggi iaitu Ioniq 5 Max didatangkan dengan motor elektrik yang menjadikannya model pacuan semua roda (AWD). Dengan pek bateri berkapasiti 72.6 kWh, ia boleh dipandu sejauh 460 km dengan satu cas penuh. Gandingan ini menghasilkan 302 hp dan 605 Nm, cukup untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.2 saat. Pengecasan dari 0 hingga 100% mengambil masa 6.1 jam dengan menggunakan pengecas AC 11 kW.
Semua varian Ioniq 5 dibina berdasarkan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) dengan sokongan 400-V dan 800-V. Ini bermakna ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 50 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 0 hingga 80% dalam 47 minit atau 17 minit jika menggunakan pengecas pantas DC 350 kW.
Berikut adalah spesifikasi lengkap Ioniq 5:
No Comment