Bisnes

Jualan Proton Meningkat 107% Pada Februari

Berikutan bulan Januari yang mencabar di mana pengeluarannya terjejas teruk akibat isu banjir yang belum diselesaikan, Proton dalam satu kenyataan berkata ia kembali pulih pada bulan Februari dengan peningkatan jualan sebanyak 107%.

Pengeluar kereta nasional itu berjaya menjual sebanyak 9,225 unit kenderaan (domestik dan eksport) pada bulan lepas, sekaligus membolehkan ia menuntut semula kedudukan kedua dalam pasaran dan meletakkannya kembali di landasan untuk memulihkan kehilangan jualan dari bulan Januari.

Pegangan pasaran domestik Proton untuk bulan Februari dianggarkan berada pada 20.2% manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, pegangan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9%. Bagi pasaran automotif secara amnya, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi tahun ini dianggarkan meningkat sebanyak 11.4% berbanding dua bulan pertama 2021.

Proton X50 Pandu Uji

Menurut syarikat itu, peningkatan ketara dalam jualan jualannya disebabkan oleh penyambungan pengeluaran secara sepenuhnya di Shah Alam dan Tanjung Malim. Bagaimanapun, pengeluaran dan aktiviti jualan untuk Saga hanya dapat dijalankan selama setengah bulan, dan ini menjejaskan potensinya.

Angka jualan Saga bagi Februari mencecah 2,951 unit, walaupun kurang daripada purata bulanan biasa ia dijangka kembali ke tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang. Model lain mencapai jualan yang lebih baik berbanding dengan sasaran jualan mereka.

X50 dan X70 menutup tirai bulan lalu dengan jualan sebanyak 3,002 dan 1,119 unit, yang membolehkan kedua-duanya mengekalkan pegangan mereka di tempat pertama dalam segmen masing-masing.

IRIZ-ACTIVE-Passion-Red-Quarter-rear-right-4.0

Sementara itu, Exora juga kembali ke tempat pertama dalam MPV segmen C, manakala Iriz dan Persona pula menikmati peningkatan yang besar yang membolehkan kedua-dua model itu menduduki tempat keempat dan kedua dalam segmen masing-masing.

Jualan eksport semakin meningkat dan telah bertambah sebanyak 72.8% pada tahun 2022. Untuk dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 323 unit pelbagai model Proton telah dijual dalam pasaran eksport berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun 2021.

“Keupayaan syarikat untuk mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama bagi pemulihan jualan bulan Februari. Ini hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor kami dan kakitangan Proton, yang bekerja bertungkus lumus untuk mengembalikan kami ke landasan yang betul. Syukurlah, buku tempahan kami kekal sihat, dan kami yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini,” kata Rosla Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Previous post

Touch 'n Go Diminta Kaji Semula Kos Tag RFID

Next post

Qualcomm Menambah Ciri Baharu Pada Casis Digital Snapdragon

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *