Michelin Pilot Sport 5 Dilancarkan – Harga Dari RM700
Michelin baru-baru ini melancarkan rangkaian tayar Pilot Sport 5 yang disasarkan untuk kereta sport dan sedan berprestasi tinggi. Model Pilot Sport generasi kelima itu dilengkapi dengan pelbagai ciri sofistikated bagi membolehkan pemandu memaksimumkan pengalaman memandu mereka.
Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Oliver Biggart berkata Michelin Pilot Sport 5 direka untuk bertahan lebih lama, sesuai untuk mereka yang inginkan prestasi pemanduan sporty. Bukan itu sahaja, tayar ini juga maju selangkah dalam aspek estetika dan ini dibuktikan menerusi anugerah 2021 Contemporary Good Design Award yang merupakan antara anugerah reka bentuk paling berprestij.
Berikut adalah antara kelebihan Michelin Pilot Sport 5:
- Teknologi Dual Sport Tread Design memberikan cengkaman yang berpanjangan dan prestasi brek yang baik di atas permukaan kering dan basah. Groove Clear pula direka untuk menyingkirkan air dengan cekap.
- Teknologi Dynamic Response yang menampilkan aramid hibrid dan tali sawat nilon untuk tindak balas stereng yang baik, manakala MaxTouch Construction memaksimumkan sentuhan tayar dengan jalan dan mengagihkan sama rata daya pecutan, brek dan belokan.
- Premium Touch Sidewall Design menghasilkan tekstur mikro seperti baldu dan Wear2Check pula membolehkan pemandu membaca indikator kehausan tayar dengan lebih mudah bagi tujuan pemantauan.
Bermula 4 April ini, Michelin Pilot Sport 5 boleh didapati menerusi wakil pengedar bertauliah dalam 26 saiz untuk rim dari 17 hingga 19 inci. Bagaimanapun, syarikat itu berkata 21 saiz lagi bakal tersedia untuk rim 17 hingga 21 inci menjelang akhir tahun ini. Harga bermula dari RM700 hingga RM1,900.
No Comment