Roush Performance Hasilkan Naik Taraf Untuk Ford F-150
Menaik taraf Ford F-150 bukanlah satu perkara yang asing bagi Roush Performance. Untuk F-150 generasi semasa, syarikat talaan dari Amerika Syarikat itu tidak ketinggalan menawarkan pakej naik taraf yang melibatkan aspek kosmetik luaran dan dalaman, serta prestasi.
Merupakan kesinambungan kepada pakej naik taraf yang diperkenalkan pada tahun lalu, pakej versi 2022 ini dihasilkan khusus untuk pemilik yang mahukan sesuatu antara F-150 standard dan F-150 Raptor. Bagaimanapun, pelanggan yang ingin mendapatkan pakej ini perlu memiliki varian XLT dengan pakej opsyen 302A atau Lariat dengan 502A.
Untuk 2022, F-150 talaan Roush tampil dengan gril baharu dengan tulisan ‘Roush’ yang lebih kecil, lampu pelepasan pada bahagian atas gril, liang haba pada bonet serta pakej grafik segar untuk mereka yang ingin tampil lebih menonjol. Turut disertakan ialah rim rekaan Roush berukuran 20 inci yang dibalut tayar General Tire Grabber A/TX.
Untuk ruang dalaman, Roush Performance menawarkan dua pilihan. Pemilik XLT boleh mendapatkan upholsteri kulit dua tona berwarna hitam dan kelabu, manakala pemilik Lariat pula boleh memilih upholsteri kulit serba hitam untuk dipadankan dengan aksen Vintage Carmen.
Penambahbaikan prestasi pula terdiri daripada sistem suspensi off-road kustom yang boleh meningkatkan jarak lega tanah dan memperbaiki pengendalian di atas permukaan tidak berturap. Sistem ekzos prestasi Roush disertakan secara standard, manakala sistem ekzos aktif ditawarkan sebagai opsyen.
Pakej Roush bermula dari $18,500 (RM78,015) tidak termasuk pilihan lain seperti kit utiliti off-road ($660 atau RM2,780), sistem ekzos aktif ($1,800 atau RM7,590), pakej kulit premium ($1,850 atau RM7,800) dan pakej grafik ($325 atau RM1,370).
No Comment