Ruang Dalaman Geely Bin Rui Cool Didedahkan
Geely telah menyiarkan gambar rasmi pertama ruang dalaman Bin Rui Cool, secara asasnya merupakan versi yang lebih bergaya Bin Rui F-Type Sport yang diperkenalkan pada Disember 2020. Model ini dijangka dilancarkan pada separuh pertama tahun ini dengan harga 78,900RMB (RM52,790).
Sesuai dengan nama yang diberi, ruang dalaman Bin Rui Cool menampilkan skema warna dua tona yang terdiri daripada warna hijau gelap dan hitam, berserta sedikit perincian warna oren untuk suasana yang lebih ceria. Gabungan warna ini dipadankan dengan material ala gentian karbon pada konsol tengah serta jalur krom metalik.
Selain itu, versi ini turut mendapat beberapa ciri baharu termasuk tuil gear elektronik, sistem pencahayaan ambien 72 warna dan corong pendingin hawa belakang. Papan pemuka turut direka semula, kini memuatkan skrin sentral berukuran 12.3 inci di atas corong pendingin hawa, bersebelahan dengan kluster instrumen digital 10.25 inci.
Bin Rui Cool turut didatangkan dengan tempat duduk sport yang dibalut material poliuretana dan suede palsu setebal 3 mm. Rekaan khusus pada permukaan kusyen dan bahagian belakang membolehkan tempat duduk ini menyokong badan pemandu dengan lebih baik.
Skema warna hijau gelap turut digunakan pada bahagian luaran sedan kompak ini, dengan jalur oren menghiasi bahagian lip depan, skirt sisi dan keliling lubang ambilan udara pada gril bawah. Spoiler gentian karbon beakang, muncung ekzos bujur ala Audi RS, rim 17 inci berwarna hitam berkilat dan angkup brek kuning melengkapkan imej sporty Bin Rui Cool.
Sedan kompak ini dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 181 PS, dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan ditugaskan untuk memacu roda depan. Enjin ini lebih berkuasa berbanding enjin turbo 1.4-liter (141 PS/235 Nm) yang terdapat pada Bin Rui standard.
No Comment