Skuter Elektrik Dari India Ini Boleh Bergerak Sejauh 300KM
Skuter elektrik adalah pilihan yang terbaik untuk mengelilingi bandar-bandar besar namun ia sering dilengkapi dengan bateri berkapasiti kecil, membawa kepada satu fenomena yang tidak asing lagi bagi pemilik EV iaitu kebimbangan jarak (range anxiety).
Bagi membantu mengurangkan kebimbangan ini di kalangan pelanggannya, pengeluar skuter elektrik dari India iaitu Simple Energy telah mengumumkan ketersediaan pek bateri tambahan untuk skuter elektrik flagship keluarannya yang dikenali sebagai One.
Dengan kapasiti 1.6 kWh, pek bateri tambahan itu membolehkan One mencapai jarak perjalanan sejauh 300 km dengan satu cas penuh, hampir 70 km lebih daripada apa yang mampu ditawarkan dengan bateri standard berkapasiti 4.6 kWh.
Menurut Simple Energy lagi, pek bateri tersebut boleh disimpan di dalam ruang storan 30 liter yang terdapat pada One untuk akses mudah. Item yang ditawarkan sebagai opsyen ini dijual pada harga INR35,999 (RM1,957), manakala skuter itu pula berharga INR1,09,000 (RM5,927). Penyerahan dijangka bermula Jun ini.
Suhas Rajkumar, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Simple Energy berkata, “Apabila kami membangunkan Simple One, sasaran kami adalah untuk menawarkan skuter elektrik yang boleh menawarkan jarak tunggangan yang cukup untuk pengguna supaya mereka tidak perlu risau tentang jarak atau pengecasan.”
One dikuasakan oleh sebuah motor elektrik 8.5 kW yang mampu menjana tork maksimum sebanyak 72 Nm, dikatakan tertinggi dalam industri. Atas kertas, ia mampu memecut dari 0 hingga 40 km/j dalam kurang tiga saat dan mencapai kelajuan maksimum 105 km/j.
Sebuah kluster instrumen digital, yang boleh disambungkan ke telefon pintar, memberikan akses kepada sistem navigasi, mod tunggangan, pemain muzik dan bermacam lagi. Simple Energy berkata naik taraf tambahan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.
No Comment