Suzuki Bakal Hasilkan Kenderaan Elektrik, Bateri EV Di India
Suzuki Motor Corporation baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan negeri Gujarat, India untuk membuat pelaburan berjumlah kira-kira 150 bilion yen (RM5.3 bilion atau 104.4 bilion rupee) bagi penghasilan kenderaan elektrik dan bateri kenderaan elektrik secara tempatan.
MoU itu ditandatangani pada 19 Mac 2022 di Forum Ekonomi India-Jepun di New Delhi, India dan dihadiri oleh Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Menurut syarikat itu, sebanyak 73 bilion rupee akan digunakan untuk pembinaan kilang bateri berdekatan dengan kilang Suzuki Motor Gujarat (SMG) yang sedia ada menjelang 2026, manakala 31 bilion rupee akan disalurkan ke arah peningkatan kapasiti pengeluaran EV di kilang SMG pada 2025. Baki pelaburan (450 juta rupee) adalah untuk membangunkan kilang kitar semula kenderaan oleh Maruti Suzuki Toyotsu pada 2025.
Disebabkan faktor-faktor seperti kos yang tinggi dan kekurangan infrastruktur pengecasan, kadar penerimaan EV di India agak perlahan. Bagaimanapun, dari segi ketersediaan produk, mereka yang ingin bertukar kepada kenderaan elektrik mempunyai banyak pilihan, dari model yang mampu milik seperti Mahindra E Verito hinggalah yang mewah seperti Porsche Taycan.
Maruti Suzuki buat masa ini tidak mempunyai model EV dalam portfolionya dan syarikat itu sebelum ini pernah berkata yang ia hanya akan memasuki segmen EV hanya apabila ia boleh dilaksanakan. Bagaimanapun, terdapat laporan yang mengatakan ia sedang menguji versi elektrik hatchback WagonR.
No Comment