Suzuki Raider R150 Fi Tiba Di Malaysia – RM8,173
Meneruskan legasi Belang F150 yang pernah menjadi satu model yang cukup popular di Malaysia suatu ketika dahulu, Suzuki Raider R150 Fi tampil dengan pelbagai penambahbaikan termasuk enjin yang paling berkuasa pernah dipasang pada model ini.
Enjin DOHC empat lejang bersesaran 150 cc itu menjana 13.6 kW pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm pada 8,500 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 2 kW dan 1.3 Nm berbanding versi sebelum ini. Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan.
Peningkatan prestasi ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuk penggunaan penyuntik bahan api jenis empat lubang, injap berdiameter lebih besar (24 mm berbanding 22 mm untuk injap kemasukan, dan 21 mm berbanding 19 mm untuk injap ekzos), silinder bersalut Suzuki Composite Electromechanical Material (ESCM) dan diameter saluran ekzos yang lebih besar iaitu 31.8 mm berbanding 25.4 mm sebelum ini.
Raider R150 Fi dibina menggunakan rangka Suzuki Advanced Twin Spar yang menawarkan keseimbangan antara ketegaran dan berat. Ia dipadankan dengan fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak monoshock dengan lengan ayun di belakang.
Selain itu, jentera ini dilengkapi dengan tayar tanpa tiub IRX yang menawarkan pengurangan rintangan golekan sebanyak 6%, sekaligus memperbaiki pecutan dan cengkaman. Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera kelopak yang dikatakan mampu menghilangkan haba dengan lebih cepat.
Raider R150 Fi didatangkan dengan lampu LED, pemegang bar hendal yang sama seperti model GSX-R, cermin sisi lebih moden serta rekaan rantai bertutup yang dapat meningkatkan ketahanannya. Turut disertakan ialah panel instrumen LCD penuh.
Dijual pada harga RM8,173 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), Raider R150 Fi boleh didapati dalam dua warna iaitu Titan Black dan Metallic Matte Stellar Blue/Titan Black. Suzuki Malaysia menawarkan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.
No Comment