Motosikal / Skuter / Roda

Tayar Motosikal Michelin Road 6 Kini Di Malaysia

Selain Michelin Pilot Sport 5, Michelin Malaysia turut melancarkan tayar motosikal generasi baharu Michelin Road 6 yang direka khas untuk motosikal roadster, kembara, sport dan grand tourer.

Menurut syarikat itu, tayar ini menawarkan penambahbaikan sebanyak 15 peratus dalam cengkaman basah dan sebanyak 10 peratus dalam jangka hayat berbanding tayar generasi terdahulu iaitu Michelin Road 5.

Penambahbaikan prestasi ini direalisasikan oleh rekaan bunga tayar yang baharu, kemajuan dalam bahan mentah serta seni bina tayar yang lebih optimum.

Rekaan Bunga Tayar

Nisbah kekosongan sebanyak 14 peratus (nisbah antara alur dan getah) membekalkan daya cengkaman tinggi dalam kondisi basah dan kering. Nisbah ini tidak berubah ketika membelok bagi menjamin respons yang konsisten.

Teknologi sisip (sipe) Michelin Water EverGrip menawarkan daya cengkaman basah yang tinggi, membolehkan penunggang menyusuri jalan raya dengan lebih yakin. Sisip tersebut direka untuk membuka mengikut tahap kehausan tayar.

Sudut alur dan sisip baharu, lebih memanjang di bahagian pinggir untuk membelah lapisan air dan mencengkam permukaan jalan raya.

Bahan Mentah

Sebatian 100 peratus silika yang menampilkan Teknologi Silika Michelin meningkatkan cengkaman dalam kondisi yang sejuk serta di atas jalan raya yang lembap dan basah, tanpa menjejaskan jangka hayat tayar.

Michelin 2CT+ (Teknologi 2 Sebatian) membolehkan pelbagai sudut bunga tayar dioptimumkan untuk karakteristik prestasi yang berbeza. Lapisan getah bunga tayar di bawah yang lebih keras mengekalkan ketegaran ketika membelok, manakala lapisan lembut di atas yang bersentuhan dengan permukaan jalan membekalkan daya cengkaman dan perbatuan yang tinggi dalam kondisi kering dan basah.

Seni Bina

Teknologi Michelin Radial X Evo iaitu lapisan 90 darjah pada rabung tayar menjamin titik sentuh yang lebih lebar untuk cengkaman kuat dalam posisi menegak mahupun menyendeng.

Dinding sisi tayar Radial X Evo generasi baharu menggunakan lapisan berlipat yang khas untuk meningkatkan fleksibiliti dan keselesaan dengan menyerap ketidaksempurnaan jalan raya. Tayar tersebut akan kekal stabil pada kelajuan tinggi, menjadikannya sesuai untuk motosikal berkuasa tinggi.

Teknologi Michelin Aramid Shield merupakan selongsong tayar yang padat dan tegar yang menawarkan maklum balas dan pengendalian yang cemerlang. Lapisan aramid mempunyai kerintangan terhadap pertumbuhan emparan (centrifugal growth) pada kelajuan yang tinggi, selain mengurangkan berat dan menawarkan kestabilan yang tinggi.

Previous post

Mercedes-Benz A-Class Yang Pertama Diperkenalkan 25 Tahun Lalu!

Next post

Roush Performance Hasilkan Naik Taraf Untuk Ford F-150

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *