TC Trucks Sales Buka Bilik Pameran Foton, JMC Di Johor Bahru
TC Trucks Sales Sdn Bhd (TCTS) secara rasmi melancarkan bilik pameran terkini dan moden di Bukit Indah, Johor Bahru sebagai komitmen untuk mengembangkan lagi rangkaiannya di wilayah Selatan.
Pembukaan bilik pameran terbaharu itu dilihat sesuai buat TCTS kerana populasi Johor Bahru yang kian berkembang serta berdekatan dengan Singapura. Lokasi strategik dan trend pertumbuhan perniagaan yang kukuh hasil pelbagai pelaburan berskala besar serta pembangunan hartanah di kawasan terbabit menjadikannya cukup sesuai untuk perniagaan.
Terletak di Wisma Tan Chong, No. 2, Jalan Indah 15/2, Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, bilik pameran itu mempunyai kawasan binaan seluas 2,912 kaki persegi yang boleh mempamerkan sebuah trak komersial ringan, trak pikap dan menempatkan satu ruang rehat pelanggan yang selesa.
Ia menawarkan produk-produk dari jenama Foton dan JMC seperti trak tugas berat (Foton Auman), trak tugas ringan (Foton Aumark) dan trak pikap 4X4 AT (JMC Vigus Pro) untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan yang berbeza.
TCTS juga bekerjasama rapat dengan Angka-Tan Motors, pengedar rasmi kenderaan Foton dan JMC serta prinsipalnya. Ini dilakukan dengan cara memberikan maklum balas dan permintaan pasaran bagi memastikan syarikat dapat menawarkan produk yang tepat untuk pasaran tempatan.
Sehingga kini, TCTS disokong oleh rangkaian 3S di bandar-bandar utama termasuklah dua di Lembah Klang, tiga di wilayah Selatan, tiga di kawasan Utara dan lapan di Malaysia Timur.
Bilik pameran ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, dari 8.15 pagi hingga 6.15 petang. Untuk hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi 016-783 3344.
No Comment