Toyota GR Corolla Diperkenalkan 31 Mac Ini
Toyota dalam satu siaran akhbar mengesahkan yang ia akan memperkenalkan “kereta sport GR terbaharu” pada 31 Mac, jam 9.30 malam Eastern Daylight Time (EDT), bersamaan 1 April, 9.30 pagi waktu Malaysia.
Syarikat itu tidak menyatakan secara jelas bahawa model yang akan diperkenalkan itu ialah GR Corolla, namun berdasarkan khabar angin yang timbul sejak beberapa bulan yang lalu, serta teaser-teaser yang disiarkan sebelum ini, kami yakin itulah model yang akan membuat kemunculannya dalam masa dua hari lagi.
Dalam pengumuman berkenaan, Toyota turut menyertakan dua lagi imej teaser yang menunjukkan fender depan dengan liang udara dan logo GR, serta skirt sisi dengan cetakan “GR-Four”, menunjukkan yang model baharu itu berkongsi sistem pacuan semua roda (AWD) yang sama dengan GR Yaris.
Selain itu, GR Corolla juga dijangka mendapat enjin turbo 1.6-liter tiga silinder yang sama dengan GR Yaris, namun jumlah kuasanya masih belum diketahui. Transmisi manual enam kelajuan hampir pasti ditawarkan sebagai standard, dengan transmisi automatik lapan kelajuan dalam perancangan.
Model ini berkemungkinan besar dibangunkan berasaskan Corolla Hatchback yang dijual di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, namun dengan kit badan yang lebih agresif dan rim yang lebih besar.
No Comment