Geely Jiaji Facelift Dikesan Di China, Bakal Ganti Proton Exora?
Diperkenalkan buat kali pertama pada 2009, Proton Exora boleh dikatakan sudah lapuk dek zaman. Namun begitu, walaupun sudah 13 tahun berada di pasaran, MPV itu masih lagi mendapat permintaan dengan 536 unit terjual pada bulan lalu, menjadikannya MPV segmen C terlaris di negara ini. Namun dengan kemunculan pesaing-pesaing baharu yang lebih menarik seperti Perodua Aruz, Mitsubishi Xpander dan Toyota Avanza, sudah tiba masanya Exora digantikan.
Hanya satu model yang sering disebut-sebut akan menjadi asas kepada Exora generasi seterusnya (digelar sebagai V70) dan ia tidak lain tidak bukan Geely Jiaji. Mula dilancarkan ke pasaran China pada Mac 2019, Jiaji merupakan sebuah MPV segak yang mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang. Ia ditawarkan dengan empat pilihan trenkuasa iaitu enjin turbo 1.8-liter empat silinder, turbo 1.5-liter tiga silinder, hibrid ringkas dan hibrid plug-in (PHEV).
Rupanya sudah tiga tahun Jiaji dilancarkan dan ini bermakna ia akan mendapat versi facelift tidak lama lagi. Model yang dikemaskini itu sebenarnya sudah diintip tanpa sebarang pelekat penyamaran di China, diletakkan bersebelahan dengan versi yang sedia ada. Seperti yang boleh dilihat, perubahan penampilannya agak ketara dengan gril dan bampar depan agresif yang direka berdasarkan bahasa reka bentuk terkini Geely iaitu Vision Starburst.
Di belakang, Jiaji facelift dilihat mengikut trend terkini industri automotif dengan lampu belakang yang melintang sepenuhnya dan juga kemasan krom pada bahagian bawah bampar. Ketiadaan kemasan krom pada bahagian tailgate bermakna tulisan Geely kini dialihkan ke bahagian atas jalur lampu. Satu lagi perubahan adalah penambahan huruf ‘L’ pada hujung tulisan Cina ‘Jiaji’, yang mungkin bermakna model facelift ini lebih panjang berbanding model sedia ada.
Sama ada benar atau pun tidak, Jiaji sebenarnya sudah cukup besar, dengan ukuran panjang 4,706 mm, lebar 1,909 mm, tinggi 1,690 mm dan tapak roda sepanjang 2,805 mm. Untuk perbandingan, Exora mempunyai ukuran panjang 4,610 mm, lebar 1,809 mm, tinggi 1,691 mm dan tapak roda 2,730 mm.
Di dalam, perubahan banyak tertumpu pada konsol tengah. Bahagian itu diberikan rekaan yang lebih ringkas dan teratur dengan pemegang cawan yang lebih besar dan tombol gear baharu yang kelihatan serupa seperti tombol gear Binrui Cool. Tombol rotari bersebelahan pemegang cawan nampaknya sudah dibuang, namun ciri-ciri kemudahan lain seperti kluster instrumen digital dan skrin tengah berukuran 12.3 inci dikekalkan.
Sehingga kini, Proton masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perihal Jiaji sebagai pengganti Exora, walaupun MPV itu merupakan salah satu daripada tiga model (selain Boyue dan Binyue) yang dilesenkan kepada Proton untuk dipasang dan dijual menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 2018.
No Comment