Honda Civic Type R Catat Rekod FWD Baharu Di Litar Suzuka
Honda Civic Type R generasi baharu masih lagi belum didedahkan, namun jentera sudah mula menunjukkan kemampuannya untuk beraksi di litar apabila memecahkan rekod kereta pacuan roda depan di Litar Suzuka dengan catatan masa 2 minit 23.120 saat.
Menariknya, catatan masa itu meletakkan Civic Type R baharu ini hampir satu saat penuh di depan pemegang rekod terdahulu iaitu Civic Type R Limited Edition yang membuat catatan masa 2 minit 23.9 saat pada Julai 2020.
Ini satu pencapaian yang hebat kerana model Limited Edition itu sememangnya diubah suai untuk kegunaan litar, Sistem suspensi dan sterengya telah ditala semula, manakala tayar yang digunakan pula adalah jenis Michelin Pilot Sport Cup 2. Malah, sistem infohibur dan pendingin hawanya juga dibuang dan penebat bunyi dikurangkan, menjadikan ia 47 kg lebih ringan berbanding versi standard.
Mengenai Civic Type R generasi baharu, Honda masih belum mendedahkan perician mengenai spesifikasi teknikalnya, namun menurut laporan ia akan kekal dengan enjin 2.0-liter turbo, sistem pacuan roda depan dan transmisi manual.
Menerusi gambar-gambar teaser yang telah disiarkan sebelum ini, hot hatch itu dilihat kekal dengan elemen-elemen sporty seperti bukaan udara yang besar pada bahagian bampar, spoiler besar, tiga muncung ekzos dan brek Brembo dengan angkup merah.
No Comment