Honda Dash 125 Kini Patuh Piawaian Emisi Euro 4
Boon Siew Honda telah melancarkan Honda Dash 125 yang telah dikemas kini untuk tahun 2022.
Menurut syarikat itu, enjin 125 cc yang digunakan pada model ini telah diperhalusi bagi memastikan ia mematuhi piawaian emisi Euro 4 serta mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Seperti sebelum ini, enjin itu dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI dan masih menghasilkan 9.85 hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.
Dari segi penampilan, Dash 125 kini boleh didapati dalam tiga pilihan warna baharu iaitu Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow, berserta grafik lebih segar.
Selain itu, ia juga mendapat visor depan baharu bagi meningkatkan prestasi aerodinamik dan juga pemegang penutup baharu. Turut disertakan adalah lampu depan LED untuk penglihatan lebih jelas dan panel meter yang memaparkan kelajuan, posisi gear dan sebagainya.
Sementara itu, sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem brek pula merangkumi cakera pada bahagian depan dan belakang.
Harga jualan Dash 125 versi 2022 bermula dari RM6,449 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
No Comment