Lamborghini Huracan Tecnica Senjata Litar Dan Jalan Raya
Ia bukanlah satu rahsia yang Lamborghini Huracan sudah hampir tiba ke penguhujung hayatnya, dengan penggantinya dikatakan akan tiba dengan enjin hibrid sekitar tahun 2024. Namun, sebelum perkara itu berlaku, Lamborghini memperkenalkan satu lagi edisi yang dikenali sebagai Huracan Tecnica.
Dibangunkan untuk menyampaikan prestasi terbaik di atas jalan raya dan juga litar lumba, Huracan Tecnica tampil dengan enjin 5.2-liter V10 dan pacuan roda belakang seperti yang digunakan oleh Huracan STO. Dengan 640 PS dan 565 Nm yang disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat (0.2 saat lebih perlahan berbanding STO) dan mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.
Sementara itu, aspek dinamik pemanduan dan parameter-parameter lain dikawal menerusi sistem LDVI (Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata). Terdapat tiga mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu Strada, Sport dan Corsa. Strada bermaksud jalan, oleh itu enjin dan transmisi berada dalam tetapan yang sederhana bagi memberikan kestabilan dan kawalan yang lebih mudah.
Mod Sport pula mendorong oversteer dari stereng roda belakang (rear-wheel steering), meningkatkan tahap gelinciran pada Performance Traction Control System (P-TCS) serta menjadikan trenkuasa lebih responsif untuk keseronokan pemanduan maksimum. Akhir sekali, dalam mod Corsa, semua aspek tadi berada dalam tetapan tertinggi bagi membantu pemandu membuat catatan masa terpantas di litar.
Untuk sistem brek, Huracan Tecnica dilengkapi dengan cakera karbon seramik dengan pemantul dan saluran angkup yang direka khas untuk memaksimumkan pelepasan haba dan menurunkan suhu bendalir brek dengan mengarahkan aliran udara terus ke cakera.
Bahagian luaran jentera ini turut direka semula bagi memperbaiki prestasi aerodinamiknya. Pada bahagian depan terdapat tirai udara baharu dan juga splitter yang bertindak untuk menghalakan udara ke arah roda untuk meningkatkan downforce dan membantu penyejukan.
Di belakang, hud gentian karbon baharu membolehkan pemandu melihat dari tingkap belakang dengan lebih mudah, manakala spoiler kekal menyumbang kepada peningkatan sebanyak 35%. Imej agresif Huracan Tecnica dilengkapkan oleh ekzos berbentuk heksagon dan rim Damiso berukuran 20 inci yang dibalut tayar Bridgestone Potenza Sport.
Kokpit Huracan Tecnica direka untuk menjadi lebih mesra penumpang, dengan skrin tengah yang memberikan akses kepada Apple CarPlay, Android Auto and Amazon Alexa. Bukan itu sahaja, aspek keselesaan turut dititikberatkan menerusi fungsi pelarasan ketinggian pada tempat duduk dan panel instrumen yang lebih mudah dibaca.
No Comment