Lexus NX 2022 Boleh Mula Ditempah – Harga Dari RM370,888
Lexus Malaysia mengumumkan bahawa Lexus NX generasi kedua kini dibuka untuk tempahan. Crossover itu ditawarkan dalam dua varian iaitu F-Sport yang dijual pada harga RM389,888 dan Luxury yang berharga RM370,888.
Diperkenalkan di peringkat global pada Jun tahun lalu, NX serba baharu tampil lebih berani. Ia mempunyai lampu LED dengan bentuk lebih tajam dan kemasan hitam bagi membuatkan lampu nyalaan siang berbentuk anak panah itu lebih menonjol. Di bawah gril pula terdapat splitter dengan kemasan satin perak.
Di belakang, terdapat lampu berbentuk L yang disambungkan dari kiri hingga kanan dengan bar lampu baharu. Logo ‘L’ pada tailgate pula telah dibuang dan digantikan dengan perkataan ‘L E X U S’ untuk penampilan lebih moden.
Ruang dalaman NX turut dipertingkatkan dan kini menampilkan sistem infohibur Lexus Interface dengan skrin sentuh 14 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Menurut Lexus, jumlah butang fizikal telah dikurangkan dari 78 kepada 45, dengan kebanyakan fungsi telah dimasukkan ke dalam skrin sentuh tersebut.
Selain itu, NX turut didatangkan dengan paparan head-up dan sistem pencahayaan ambien yang menawarkan 64 pilihan warna. Satu lagi ciri baharu yang terdapat pada model ini adalah pembuka pintu ‘e-latch’ yang membolehkan penumpang membuka pintu dengan menekan satu butang sahaja.
NX boleh didapati dalam lapan warna, termasuk warna baharu Sonic Chrome dan dua lagi warna baharu untuk varian F-Sport. Untuk ruang dalaman, F-Sport mendapat pilihan warna Black atau Flare Red, manakala Luxury pula mendapat Black, Dark Rose dan Hazel.
NX F-Sport dikuasakan oleh enjin turbo 2.4-liter yang menjana 275 hp pada 6,000 rpm dan 430 Nm dari 1,700 rpm hingga 3,600 rpm, manakala NX Luxury pula mempunyai enjin aspirasi natural 2.5-liter dengan 204 hp pada 6,600 rpm dan 243 Nm dari 4,000 hingga 5,000 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan baharu dengan kawalan shift AI yang menggunakan kamera untuk mengimbas keadaan permukaan jalan untuk menetapkan paten shift sewajarnya.
Untuk kecekapan bahan api, keutamaan penyaluran kuasa adalah pada roda depan namun NX turut dilengkapi dengan sistem AWD yang dikawal secara elektronik. Sistem ini mampu mengawal pembahagian kuasa antara roda depan dan belakang mengikut keadaan pemanduan bagi mengurangkan understeer atau oversteer.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada Lexus Safety System Plus (LSS+) yang merangkumi Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Adaptive High-beam System (AHS). Turut disertakan adalah Road Sign (Assist), Panoramic View Monitor (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB).
No Comment