Lotus Emira First Edition Dilancarkan Di Malaysia – Harga Dari RM1.13 Juta
Lotus Cars Malaysia hari ini melancarkan model terakhir Lotus yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman iaitu Lotus Emira. Hadir dalam varian First Edition, jentera itu dijual pada harga bermula dari RM1,131,800 on-the-road.
Meneruskan legasi Elise, Exige dan Evora, Emira dikuasakan oleh enjin supercharged 2GR-FE 3.5-liter V6 keluaran Toyota yang mampu menghasilkan 400 hp dan 420 Nm. Ia boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan. Menariknya, versi automatik mempunyai jumlah tork yang lebih tinggi iaitu 430 Nm.
Dari segi prestasi, Emira hanya memerlukan 4.3 saat (4.2 saat bagi automatik) untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.
Versi First Edition ini boleh didapati dalam enam warna iaitu Seneca Blue, Magma Red, Hethel Yellow, Dark Verdant, Shadow Grey dan Nimbus Grey. Rim ultra-ringan V-spoke dua tona berukuran 20 inci didatangkan secara standard, begitu juga dengan lampu LED depan dan belakang, kemasan ekzos titanium, cermin sisi boleh lipat dengan fungsi pemanas dan sensor parkir belakang.
Bukan itu sahaja, ia juga mendapat empat pakej tambahan seperti berikut:
- Lower Black Pack – kemasan hitam berkilat pada bilah udara bampar depan, splitter depan, skirt sisi dan diffuser
- Driver’s Pack – pilihan suspensi Tour atau Sport dengan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport, atau suspensi Sport dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2
- Design Pack – cermin privasi, pedal sport, headliner Alcantara hitam, karpet lantai dan pilihan warna hitam, merah, kuning atau perak untuk angkup brek
- Convenience Pack – sensor parkir depan, kamera undur, pengelap cermin automatik dengan bilah aero, cermin malap automatik dan jaring ruang bagasi
Di dalam, terdapat tempat duduk pemandu dengan ciri pelarasan 12 hala dan fungsi memori, pendingin hawa, Cruise Control dan Keyless Start. Sistem infohibur pula merangkumi skrin sentuh berukuran 10.25 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kuster instrumen TFT 12.3 inci, sistem audio berjenama KEF, radio digital DAB dan soket USB/12v.
Pelanggan mempunyai tujuh pilihan kombinasi warna dan upholsteri iaitu kulit Nappa merah, hitam, kelabu dan tan, serta Alcantara hitam dengan jahitan merah, kuning atau kelabu. Semuanya boleh dipilih tanpa sebarang kos tambahan.
Untuk melihat dengan lebih dekat, kunjungi bilik pameran Lotus Cars Malaysia di 43, Jalan Astaka U8/84A, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, pada hujung minggu ini (9 dan 10 April) dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
No Comment