Mitsubishi Colt Bakal Buat Kemunculan Semula Pada 2023
Mitsubishi Motors akan mengembalikan semula model kompak Colt ke pasaran Eropah pada 2023, kira-kira 10 tahun selepas pengeluarannya dihentikan. Langkah ini dilihat sebagai tepat pada masanya bagi meraikan ulang tahun ke-60 pelancaran model Colt 600.
Dalam pengumuman berkenaan, Mitsubishi turut menyiarkan sekeping imej teaser yang menunjukkan bayangan model generasi seterusnya itu. Perincian teknikal setakat ini masih belum diketahui namun menurut syarikat itu, Colt baharu akan dibangunkan menggunakan platform CMF-B yang turut digunakan oleh Renault Clio, Nissan Micra dan Dacia Sandero.
Jika diteliti imej teaser berkenaan, bentuk Colt memang tidak jauh berbeza dengan Clio, cuma bahagian depannya menampilkan rekaan Dynamic Shield Mitsubishi. Emblem “Hybrid EV” pada bahagian pintu menunjukkan yang model itu akan ditawarkan dalam versi hibrid.
Versi itu mungkin menggunakan trenkuasa yang sama dengan Clio E-Tech Hybrid yang merangkumi gabungan enjin 1.6-liter dan sebuah motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 140 hp. Ia dijangka mendapat transmisi automatik enam kelajuan, membolehkannnya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.
Mitsubishi sebelum ini juga pernah menyiarkan gambar teaser ASX generasi baharu. Seperti Colt-Clio, crossover kompak itu akan dibina menggunakan platform yang sama dengan Captur. Untuk pasaran Eropah, Colt dan ASX bukan sahaja berkongsi platform dengan model keluaran Renault, malah akan dipasang oleh pengeluar dari Perancis itu.
No Comment