Perdana Menteri Umum Tol Percuma, Diskaun Sempena Aidilfitri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaacob mengumumkan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada pengguna lebuh raya bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 3 Mei 2022.
Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Ismail berkata langkah ini dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi.
Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).
Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara – Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11:59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.
Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
No Comment