Renault Kwid E-TECH Kereta Elektrik Paling Murah Di Brazil
Renault Kwid E-TECH secara rasminya dilancarkan di Brazil pada harga 142,990 Real Brazil (kira-kira RM132,550), sekaligus menjadikannya kenderaan elektrik yang paling mampu milik di negara itu. Model ini diperkenalkan pertama kali di Auto Expo 2020 sebagai K-ZE yang merupakan namanya untuk pasaran China.
Seperti kebanyakan EV lain yang ada di pasaran, Kwid E-Tech tampil dengan beberapa elemen penggayaan unik bagi membezakannya dengan versi enjin pembakaran dalaman. Antaranya adalah gril bertutup dengan jalur krom berbentuk U di bawah logo jenama, lencana E-TECH dan juga rim aloi dalam rekaan baharu.
Ini diteruskan di dalam kabin, di mana Kwid E-TECH mendapat kluster instrumen dengan grafik yang spesifik kepada EV dan stereng empat batang. Kelengkapan lain masih sama dengan Kwid untuk pasaran India iaitu skrin sentuh berukuran tujuh inci di tengah-tengah papan pemuka, tingkap kuasa dan tombol pemilih gear.
Menguasakan Kwid E-TECH adalah motor elektrik tunggal yang menghasilkan 65 hp, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam hanya 4.1 saat. Dilengkapi dengan bateri berkapasiti 26.8 kWh, crossover elektrik seberat 977 kg ini boleh dipandu sejauh kira-kira 298 km di dalam bandar atau 265 km di bandar dan lebuh raya.
Untuk pengecasan pula, Renault mendakwa Kwid E-TECH memerlukan sehingga sembilan jam untuk mendapatkan semula jarak 190 km jika dicas menerusi outlet domestik 220V/20A atau hanya 40 minit menerusi stesen pengecas pantas. Dengan pengecas Wallbox 7 kW pula, pengecasan dari 15% hingga 80% boleh dilakukan dalam masa 2 jam 50 minit.
Dari segi keselamatan, Kwid E-TECH didatangkan dengan ciri-ciri asas seperti enam beg udara, ABS dengan EBD, Electronic Stability Control, Hill-Start Assist dan Tyre Pressure Monitoring System. Keselamatan pejalan kaki turut dititikberatkan menerusi ciri Auditory Vehicle Alert System (AVAS) yang bertindak untuk mengeluarkan bunyi amaran pada kelajuan sehingga 30 km/j.
Oleh kerana Kwid dipasang di India dan Brazil, dan Tan Chong Euro Cars (TCEC) nampaknya hanya menumpukan usaha mereka terhadap Captur yang dipasang secara tempatan, kemungkinan untuk Kwid E-TECH tiba ke negara ini sangat rendah. Bagaimanapun, jika suatu hari ia menembusi pasaran negara ini, harga anggaran sekitar RM135,000 hingga RM140,000 akan menjadi persaingan dengan Nissan LEAF dan Hyundai Kona Electric lebih sengit lagi.
No Comment