Toyota GR Corolla Hadir Dengan 300 hp, Pacuan AWD Dan Transmisi Manual
Selepas pelbagai teaser dan gambar intipan disiarkan, jentera terbaharu Gazoo Racing iaitu Toyota GR Corolla akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Jentera ini telah diuji di banyak lokasi, termasuk litar Fuji Speedway, Suzuka, Tsukuba dan juga di atas permukaan salji dan jalan tidak berturap.
Menariknya, GR Corolla berkongsi ‘jantung’ G16E-GTS 1.6-liter turbo tiga silinder yang sama dengan GR Yaris namun dengan talaan yang lebih berkuasa bagi menghasilkan 300 hp pada 6,500 rpm dan 370 Nm dari 3,000 hingga 5,500 rpm. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 32 hp berbanding GR Yaris.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dengan fungsi pemadanan rev (rev matching). Kuasa yang disalurkan ke roda akan melalui sistem pacuan semua roda GR-Four yang mempunyai tiga tetapan pembahagian tork iaitu 60-40 depan-belakang, 50-50 dan 30-70.
GR Corolla menggunakan platform GA-C yang telah dimodifikasi dengan titik kimpalan tambahan dan penggunaan pelekat struktur yang lebih meluas bagi mengukuhkan lagi sendi rangka. Suspensi depan merupakan jenis MacPherson manakala suspensi belakang pula adalah double-wishbone.
Hot hatch ini dilengkapi dengan rim berukuran 18 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40R18. Sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 14 inci dengan angkup empat piston di depan, dan cakera 11.7 inci dengan angkup dua piston di belakang.
Di dalam, terdapat paparan meter TFT berukuran 12.3 inci yang memaparkan pelbagai maklumat termasuk mod AWD, tekanan turbo, posisi gear dan tachometer. Turut disertakan adalah skrin sentuh sistem infohibur lapan inci dengan fungsi arahan suara, butang penghidup enjin GR dan set pedal aluminium.
Bergantung kepada pasaran, GR Corolla akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Core dan Circuit. Boleh didapati dalam warna putih, hitam dan Supersonic Red, versi Core didatangkan dengan upholsteri fabrik serta perincian hitam dan perak. Mereka yang memilih versi ini juga boleh mendapatkan pakej Cold Weather dan Technology.
Sementara itu, versi Circuit menawarkan peningkatan dari segi prestasi menerusi penambahan Torsen Limited-Slip Differential pada gandar depan dan belakang, dan juga bumbung karbon. Ia juga tampil lebih agresif dengan adanya liang udara bonet, angkup brek merah lengkap dengan logo GR, spoiler lebih besar dan upholsteri suede dan kulit sintetik dalam warna merah dan hitam.
No Comment