Toyota Vios Generasi Baharu Bakal Guna Platform DNGA
Toyota Vios generasi semasa, yang sudah berada di pasaran sejak sembilan tahun yang lalu, bakal digantikan dengan model serba baharu yang mungkin akan dilancarkan di Thailand pada suku ketiga tahun ini. Laman automotif dari Thailand, Headlightmag mendakwa Vios generasi baharu akan dibangunkan dengan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sebagai asas.
Bakal dikenali dengan kod nama D92A, sedan itu mungkin direka berdasarkan model konsep Daihatsu DN F-Sedan yang diperkenalkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2017. Jika laporan ini benar, tidak mustahil Vios (dipasarkan sebagai Yaris Ativ di Thailand) akan kelihatan jauh lebih segak berbanding model sedia ada.
Dengan penggunaan platform DNGA untuk Vios yang akan datang, Toyota dikatakan boleh menggunapakai trenkuasa Toyota Hybrid System II (THS II) untuk menyaingi Honda City e:HEV. Trenkuasa itu merangkumi enjin petrol 1.5-liter empat silinder DOHC dan sebuah motor elektrik, namun jumlah kuasanya tidak dinyatakan.
Tambah laman web itu lagi, Vios baharu juga mungkin akan ditawarkan dengan enjin aspirasi natural 1.2-liter empat silinder dan bukannya enjin turbo kecil seperti yang dikhabarkan sebelum ini. Perincian mengenai transmisi juga masih tidak diketahui setakat ini namun kemungkinan besar ia akan terus menggunakan CVT.
Untuk perbandingan, City e:HEV dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 98 PS/127 Nm dan dua buah motor elektrik yang menjana 108 PS/253 Nm. Model itu juga boleh didapati dalam versi petrol yang menampilkan enjin 1.5-liter empat silinder DOHC VTEC dengan kuasa berjumlah 121 PS dan 145 Nm.
No Comment