Aprilia RSV4 1100 Factory Baharu Dilancarkan Di Malaysia
Didi Group secara rasminya melancarkan Aprilia RSV4 1100 Factory baharu pada acara Ipoh Big Bike Pitstop dan Velocity Motorshow yang diadakan baru-baru ini. Jika dibandingkan dengan versi sebelumnya yang memasuki pasaran Malaysia pada 2019, model baharu ini hadir dengan penambahbaikan dari segi mekanikal dan juga aerodinamik.
Pertama sekali, kapasiti enjin V4 yang ikonik itu telah dipertingkatkan dari 1,078 cc sebelum ini kepada 1,099 cc. Walaupun kuasa puncak kekal pada 217 hp pada 13,000 rpm, tork menunjukkan peningkatan sebanyak 3 Nm kepad 125 Nm pada 10,500 rpm. Ini membolehkan RSV4 Factory mencapai kelajuan melebihi 305 km/h dan pada masa yang sama, mematuhi piawaian emisi Euro 5.
Pengeluar motosika dari Itali itu turut mengambil elemen daripada RS 660 untuk mempertingkatkan kecekapan aerodinamik RSV4 Factory. Elemen yang dimaksudkan adalah sepasang winglet yang dipasang terus pada fairing bagi meningkatkan kestabilan motosikal pada kelajuan tinggi dan ketika membrek, serta memperbaik penyejukan enjin.
RSV4 Factory menggunakan sistem suspensi separa aktif Smart EC 2.0 yang mempunyai dua mod iaitu Semi-Active dan Manual, serta tiga pemetaan – dua untuk kegunaan di litar lumba dan satu untuk tunggangan di jalan raya. Terdapat juga lengan ayun baharu yang dikatakan lebih ringan dan tegar.
Masih dalam topik elektronik, APRC (Aprilia Performance Ride Control) generasi baharu menampilkan AEB (Aprilia Engine Brake) yang boleh dilaraskan kepada tiga tahap dan kini bebas daripada pemetaan enjin yang dipilih. Superbike ini juga didatangkan dengan enam mod tunggangan iaitu tiga untuk kegunaan di jalan raya (Street, Sport dan User) dan tiga lagi untuk litar lumba (Race, Track 1 dan Track 2).
Untuk brek pula, RSV4 Factory menggunakan angkup Brembo Stylema bersama cakera berkembar 330 mm di depan dan angkup Brembo dengan cakera tunggal 220 mm di belakang. Turut disertakan adalah Bosch ABS dengan fungsi pembelokan (cornering function).
RSV4 Factory boleh didapati dalam warna Lava Red, Aprilia Black serta Ultra Dark. Harga bermula dari RM169,900.
No Comment