Euro NCAP: Volvo C40 Recharge Peroleh Penarafan 5 Bintang
Volvo merupakan sebuah jenama yang sentiasa menjadi peneraju dalam aspek keselamatan. Jika anda masih ingat, pengeluar kenderaan dari Sweden inilah yang mula-mula mencipta tali pinggang keledar tiga poin pada 1959 dan bermula 2020, kelajuan maksimum semua kenderaan keluarannya dihadkan pada 180 km/j. Oleh itu, tidak hairanlah jika setiap model dalam portfolio Volvo telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang oleh Euro NCAP.
Kini, satu lagi model Volvo mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Euro NCAP iaitu C40 Recharge. Menurut badan keselamatan itu, crossover elektrik itu mendapat markah cemerlang dalam kategori keselamatan penumpang dan sistem bantuan pemandu. Teknologi-teknologi keselamatan ini membantu pemandu mengesan dan mengelakkan perlanggaran, serta kekal di dalam lorong mereka.
Diperkenalkan pada Mac tahun lalu, C40 Recharge dikuasakan oleh sepasang motor elektrik (satu pada gandar depan, satu lagi pada gandar belakang) yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 408 hp dan 660 Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat.
Dengan bateri berkapasiti 78 kWh, crossover ini menawarkan jarak pemanduan sejauh 420 km dengan satu cas penuh. Menariknya, Volvo berkata jarak tersebut boleh meningkat dari masa ke masa menerusi kemaskini perisian yang dilakukan secara atas udara (Over-the-Air).
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem operasi Android yang dibangunkan dengan kerjasama Google. Ini membolehkan pemandu menggunakan pelbagai aplikasi Google seperti Maps, Assistant dan Play Store.
No Comment