Honda BR-V Dapat Dua Warna Baharu Untuk 2022
Honda Malaysia hari ini mengumumkan dua pilihan warna baharu untuk BR-V iaitu Ignite Red Metallic dan Meteorid Gray Metallic. Warna-warna baharu ini akan menggantikan Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic yang sedia ada.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Honda Malaysia telah memperkenalkan Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic dalam barisan hatchback dan sedan kami iaitu City Hatchback, City dan Civic, sementara Accord turut menawarkan warna Meteoroid Gray Metallic.”
Tambah beliau lagi, berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, Honda Malaysia kini menawarkan warna baharu itu pada BR-V bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan penampilan model itu.
Sejak pelancarannya pada Jun 2020, crossover tujuh tempat duduk versi facelift itu telah terjual sebanyak lebih 5,700 unit setakat April 2022. Prestasi jualan yang memberangsangkan itu disumbangkan oleh rekaan yang bergaya, prestasi pemanduan dan versatilitinya.
BR-V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT bagi menghasilkan kuasa maksimum 120 PS. Prestasi pemanduannya lebih menarik dengan adanya paddle shifter dalam varian V, manakala ruang kargo sebesar 539 liter (dengan kerusi barisan ketiga dilipat) membuatkannya sesuai untuk seisi keluarga.
Selain itu, ia juga didatangkan standard dengan ciri-ciri kemudahan lain seperti paparan audio berukuran tujuh inci, sistem pendingin hawa automatik, Smart Entry dan butang penghidup enjin.
No Comment