Hyundai i30 N Drive-N Model Edisi Terhad Untuk Eropah Sahaja
Hyundai i30 N merupakan antara salah satu hot hatch yang paling menarik di pasaran dan apabila terdapat model edisi terhad, sudah tentu kami cukup teruja walaupun ia hanya ditawarkan di pasaran Eropah sahaja seperti i30 N Drive-N ini.
Terhad kepada 800 unit sahaja (620 unit untuk Eropah dan selebihnya untuk Australia), i30 N Drive-N dibangunkan dengan mengambil kira maklum balas daripada pemilik Hyundai N dan juga media.
Walaupun begitu, model ini tidak diberikan sebarang penambahbaikan mekanikal. Ini tidak mengapa kerana i30 N dalam versi standard pun sudah cukup mengujakan dengan enjin 2.0-liter empat silinder yang menjana 280 PS dan 392 Nm (jika dilengkapi dengan Performance Package), transmisi DCT lapan kelajuan/manual enam kelajuan dan Limited Slip Differential.
Apa yang dibawakan oleh edisi Drive-N adalah penggayaan luaran dan dalaman yang membuatkannya ia tampil lebih agresif. Menurut Hyundai, ia boleh didapati dalam versi hatchback atau fastback, dengan dua pilihan warna luaran iaitu Phantom Black Pearl dan Serenity White Pearl.
Tidak kira warna apa yang dipilih, ia dilengkapi dengan rim berukuran 19 inci dengan kemasan gangsa hitam matte, lencana Hyundai berwarna hitam, pelekat pada bahagian depan, sisi dan belakang, serta tidak dilupakan lencana Drive-N pada bahagian fender.
Di dalam, anda akan menemui plak edisi khas dengan nombor siri pengeluaran. Bukan itu sahaja, upholsteri kulit digantikan dengan balutan Alcantara dengan jahitan merah pada stereng, tuil gear, perehat tangan dan brek tangan. Ini dipadankan dengan aksen merah pada tali pinggang keledar, butang N pada stereng dan tempat duduk.
Dari segi kelengkapan, i30 N Drive-N kekal dengan ciri-ciri seperti bar belakang, bumbung kaca, pemanas stereng, skrin sentuh 10.25 inci, pengecas wayarles dan sistem keselamatan aktif Hyundai Smart Sense. Sebagai tambahan, versi manual mendapat Blind-Spot Collision Warning dan Rear-Cross Traffic Collision Warning, manakala versi DCT pula mendapat Blind-Spot Collision-Avoidance Assist dan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist.
No Comment