Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Kini Anda Boleh Cas EV Dengan Aplikasi Setel

Dalam usaha menuju ke arah mobiliti yang lebih inklusif dan lestari, Setel baru-baru ini memperkenalkan ciri terbaharunya yang membolehkan pengguna mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka melalui aplikasi Setel.

Pengguna EV dapat menemukan stesen pengecasan pilihan mereka berserta jenis pengecas, dan seterusnya mengaktifkan pengecas tersebut dengan hanya menggunakan aplikasi Setel. Pembayaran akan dibuat melalui Setel Wallet dan pengguna akan menerima mata ganjaran Mesra untuk setiap transaksi.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Tawaran kemudahan pengecas EV dalam ekosistem Setel membolehkan kami menjurus fokus ke atas aspek kelestarian. Kemudahan ini terlahir dengan mendengar keperluan para pelanggan kami dan ia juga merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kami untuk terus menginovasi demi mobiliti inklusif, yakni bagi mendukung usaha global untuk menyahkarbon pengangkutan jalan raya.

Didorong oleh penerimagunaan EV yang kian berkembang di Malaysia, kami berhasrat untuk meluaskan akses ke atas infrastruktur pengecasan awam di samping memudahkan proses pengecasan bagi pengguna EV, setanding dengan pengalaman mengisi petrol yang ditawarkan oleh Setel kepada para pengguna kenderaan.”

Setel telah bekerjasama dengan JomCharge sebagai pihak penyedia yang pertama, dengan rancangan untuk bekerjasama dengan lebih ramai penyedia EV dalam tempoh terdekat, termasuk Energise oleh PETRONAS. Dalam fasa pertamanya, pengguna EV boleh menggunakan aplikasi Setel untuk mengecas kenderaan elektrik mereka di lima lokasi berikut: Lotus’s Tesco Kepong, EV Connection Workshop di Petaling Jaya, Carsome PJ Automall, Rasa Sayang Resort milik Shangri-La di Pulau Pinang serta ibu pejabat ACO Group di Johor Bahru.

Muat turun versi aplikasi Setel yang terkini secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Maklumat lanjut mengenai Setel boleh didapati di https://www.setel.com/.

Previous post

Peta Interaktif Ini Membantu Merancang Perjalanan EV Anda

Next post

Chery Group Jual 285,000 Unit Kenderaan Pada Jan-Apr

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *