Lexus NX Generasi ke-2 Rasmi Dilancarkan Di Malaysia
Lexus NX generasi kedua akhirnya dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia, kira-kira dua minggu selepas ia dibuka untuk tempahan. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, crossover mewah itu ditawarkan dalam dua varian iaitu NX 350 F-Sport yang berharga RM389,888 dan NX 250 Luxury yang berharga RM370,888.
Menurut Lexus, 95% peratus komponen pada NX adalah baharu. Ini termasuk platform TNGA (GA-K) yang dikatakan 30% lebih tegar dan 20 mm lebih rendah berbanding platform sebelumnya. Dari segi ukuran pula, ia 20 mm lebih lebar berbanding model generasi pertama, dengan ukuran tapak roda yang lebih panjang sebanyak 30 mm.
Jurutera Lexus mengekalkan rupa paras asal NX namun pada masa yang sama, model ini diberikan suntikan segar menerusi corak ‘criss-cross’ pada gril, lampu projektor LED dengan lampu nyalaan siang baharu, serta lampu belakang dengan grafik berbentuk L yang bersambung dari kiri hingga kanan. Logo Lexus pada bahagian belakang turut diubahsuai.
Ruang dalaman pula membawakan konsep Tazuna yang merujuk kepada hubungan antara penunggang dan kudanya. Sebagai contoh, bilangan suis dan butang dikurangkan daripada 78 kepada 45. Butang fizikal dikekalkan untuk fungsi-fungsi yang sering digunakan sahaja, ditambah dengan butang sensitif sentuhan pada stereng untuk kawalan paparan heads-up.
Untuk memastikan pemandu dapat mengekalkan tumpuan, kebanyakan fungsi dimasukkan ke dalam skrin sentuh 14 inci yang dikatakan paling besar dalam kelasnya. Skrin ini menawarkan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay wayarles.
Selain itu, terdapat juga sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan e-latch yang membolehkan pemandu dan penumpang membuka pintu dengan hanya menekan satu butang.
NX 350 F-Sport dikuasakan oleh enjin turbo 2.4-liter empat silinder dengan 275 hp dan 430 Nm, manakala NX 250 Luxury pula mempunyai enjin NA 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 204 hp dan 243 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Aspek keselamatan pula terdiri daripada Lexus Safety System Plus (LSS+) yang merangkumi Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Adaptive High-beam System (AHS). Turut disertakan adalah Road Sign (Assist), Panoramic View Monitor (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB).
Turut disertakan adalah Road Sign Assist (RSA) yang boleh membaca had kelajuan, Panaromic View Monitor (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB) yang boleh mengurangkan kuasa enjin dan mengenakan brek secara autonomi apabila perlu semasa kenderaan diparkir.
Terdapat lapan warna yang ditawarkan untuk NX, termasuk warna baharu Sonic Chrome dan dua lagi warna baharu untuk varian F-Sport. Untuk ruang dalaman, F-Sport boleh didapati dengan warna Black atau Flare Red, manakala Luxury pula dengan warna Black, Dark Rose dan Hazel.
No Comment