Pandu Uji

Pandu Uji Ringkas: Lexus NX 350 F Sport Di Litar Sepang

Sejujurnya, Lexus bukanlah jenama pertama yang terlintas di fikiran penulis setiap kali berbicara tentang kenderaan premium yang memfokuskan kepada prestasi pemanduan. Posisi itu dihuni oleh pengeluar-pengeluar utama dari Jerman iaitu Audi, BMW dan Mercedes-Benz.

Bagi penulis, jenama Jepun itu lebih mengutamakan keterperincian dan ketelitian dalam produk mereka. Ia bukanlah sesuatu yang buruk ataupun tidak baik, namun kualiti pertukangan, jenis material atau jahitan yang digunakan di dalam kabin tidak akan membangkitkan keterujaan pemandu.

Benar, Lexus pernah menghasilkan model-model yang menjadi idaman kaki kereta seperti LFA, LC 500 dan RC F, namun dalam segmen SUV atau crossover, jenama itu tidak mempunyai sebarang penawaran yang berjiwa sporty. Namun, situasi ini bakal berubah dengan NX serba baharu.

Diperkenalkan di peringkat global pada tahun lalu, NX serba baharu tampil dengan perubahan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan reka bentuk dan kelengkapan, malah aspek teknikal seperti casis dan enjin.

Baru-baru ini, kami dijemput untuk merasai sendiri kehebatan model ini di Litar Antarabangsa Sepang. Ya, keputusan Lexus Malaysia untuk mengadakan sesi pandu uji di litar yang pernah menjadi tuan rumah kepada perlumbaan F1 membuktikan bahawa syarikat itu yakin dengan kemampuan model ini.

Untuk pasaran Malaysia, NX ditawarkan dalam dua varian iaitu NX 350 F Sport dan NX 250 Luxury namun untuk sesi pandu uji ini, hanya varian F-Sport yang tersedia. Ia dijual pada harga RM389,888, hampir RM20,000 lebih mahal berbanding varian Luxury.

Penampilan lebih menarik

Sekilas pandang, bentuk keseluruhan NX generasi kedua tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model generasi pertama, namun Lexus telah melakukan beberapa perubahan bagi memastikan model ini tampil lebih menarik.

Pertama sekali, lampu nyalaan siang berbentuk L kini disekalikan dengan lampu depan, manakala lampu belakang pula merintangi pintu tailgate. Logo Lexus pada tailgate telah dibuang dan digantikan dengan tulisan ‘LEXUS’.

Gril spindle yang menjadi trademark Lexus turut diberi sentuhan segar. Khusus untuk varian F Sport adalah bingkai gril berwarna hitam berkilat, corak bermotifkan huruf L bertindih pada gril, logo F-Sport serta rim berukuran 20 inci.

Satu lagi ciri baharu yang disertakan adalah pemegang pintu ‘e-latch’ yang membolehkan penumpang membuka pintu dari luar atau dalam dengan menekan satu butang sahaja. Ini bermakna anda tidak perlu lagi menarik pemegang pintu sebelum membuka pintu seperti kebiasaan.

Ruang dalaman dengan faktor ‘wow’

Ada beberapa perkara yang penulis benar suka mengenai ruang dalaman NX baharu. Yang paling utama, tiada lagi pad sentuh atau Remote Touch yang menyusahkan. Kawalan sistem infohibur kini boleh dilakukan menerusi butang pada roda stereng atau skrin sentuh itu sendiri.

Ya, NX kini dilengkapi dengan skrin sentuh berukuran 14 inci yang dihalakan sedikit ke arah pemandu bagi membantu pemandu kekal fokus di jalan raya. Dengan grafik yang berwarna-warni dan ikon yang tersusun, skrin ini ternyata jauh lebih intuitif berbanding skrin lapan inci pada model sebelumnya.

Ruang kabin NX juga kelihatan tampil lebih kemas kerana menurut Lexus, jumlah butang fizikal telah dikurangkan dari 78 kepada 45, dengan kebanyakan fungsi telah dimasukkan ke dalam skrin sentuh tersebut. Hanya butang-butang untuk fungsi yang kerap digunakan sahaja dikekalkan.

Satu lagi perkara yang membuatkan penulis cukup teruja adalah reka bentuk tempat duduk depan. Gabungan warna merah dan hitam membuatkan ia kelihatan tidak ubah seperti kerusi bucket di dalam kereta sport sebenar. Ia bukan sahaja lembut dan selesa malah mampu memberikan sokongan yang baik ketika memandu di dalam litar.

Casis dan trenkuasa mantap

Bercakap tentang pemanduan, penggunaan platform GA-K yang lebih rendah dan tegar berbanding platform terdahulu ternyata memberikan manfaat kepada NX terutamanya dari segi pengendalian.

Olengan badan masih terasa ketika melakukan ujian slalom dan mengambil selekoh, namun untuk sebuah crossover, kelincahan yang ditunjukkan oleh NX agak mengagumkan. Bukan itu sahaja, tindak balas stereng juga cukup memuaskan. Adakah ini hubungan antara pemandu dan kereta yang Lexus cuba disampaikan menerusi konsep Tazuna?

Dari segi kuasa pula, enjin turbo 2.4-liter empat silinder T24A-FTS itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk memacu NX di litar Sepang. Dengan output berjumlah 275 hp pada 6,000 rpm dan 430 Nm yang boleh dirasakan seawal 1,700 rpm, crossover itu boleh mencapai kelajuan 170 km/j dengan mudah di laluan lurus di bahagian selatan litar itu.

Berbekalkan masa kira-kira 30 minit, penulis sempat mencuba mod Normal, Sport dan Sport+. Ya, dengan tindak balas pendikit yang lebih tajam dan suspensi yang lebih keras, mod Sport dan Sport+ akan membuatkan sesiapa sahaja teruja namun bagi penulis, mod Normal sudah memadai untuk merasakan kemampuan enjin tersebut.

Tugas untuk menyalurkan kuasa diserahkan kepada transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan yang menggantikan transmisi automatik enam kelajuan sebelum ini. Unit itu dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang dikawal secara elektronik. Secara ringkasnya, ia boleh mengubah pembahagian tork antara gandar depan dan belakang (75:25 atau 50:50), bergantung kepada situasi dan gaya pemanduan.

Konklusi

Diakui, dengan harga jualan bermula dari RM389,888, Lexus NX 350 F Sport agak mahal berbanding pesaing-pesaingnya dari Jerman iaitu BMW X3 (RM329,289 untuk varian xDrive30i M Sport) dan Mercedes-Benz GLC (RM338,693 untuk GLC 300 AMG Line).

Namun, pada hemat penulis, model ini cukup lengkap dan menawarkan segala-galanya yang dimahukan oleh pelanggan dalam segmen ini seperti reka bentuk premium, kelengkapan yang canggih dan juga prestasi yang mantap. Pembeli juga tidak perlu risau tentang kualiti kerana kenderaan Lexus sememangnya cukup terkenal dengan ketahanan mereka. Bahkan, perkhidmatan selepas jualan oleh Lexus Malaysia boleh memberikan ketenangan minda.

Previous post

Honda HR-V 2022 Semua Baharu Akan Tiba Dalam Beberapa Bulan

Next post

Hyundai IONIQ 5 Kena recall Di AS. Bagaimana dengan Malaysia?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *