Proton Saga Facelift 2022 Dilancarkan – Harga Dari RM34,400
Proton Saga generasi semasa berada di pasaran sejak 2016. Pada 2019, ia menjadi model pertama Proton yang mendapat sentuhan Geely dengan facelift yang membawakan transmisi automatik baharu, skrin sentuh dan pelbagai pembaharuan lain. Kini, sedan kompak itu menerima satu lagi facelift yang merangkumi sedikit perubahan reka bentuk, kelengkapan tambahan serta satu varian baharu.
Varian yang dimaksudkan adalah Premium S yang diposisikan sebagai varian tertinggi dalam barisan Saga dengan harga jualan bermula RM44,300. Varian Premium AT berharga RM41,300, manakala Standard AT dan Standard MT masing-masing berharga RM38,300 dan RM34,400.
Seperti sebelum ini, Saga dikuasakan oleh enjin 1.3-liter empat silinder DOHC VVT yang menjana 95 PS pada 5,750 rpm dan 120 Nm pada 4,000 rpm, dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan (AT) atau manual lima kelajuan (MT).
Dari segi penampilan, model ini tampil dengan logo baharu Proton pada bahagian gril, rim dan stereng, skirt depan dan sisi baharu, serta rim 15 inci dwi-tona baharu. Varian Premium S mendapat kemasan merah pada bahagian bawah gril, bingkai corong pendingin hawa, karpet, stereng, tempat duduk dan panel meter.
Untuk kelengkapan, skrin sentuh 7-inci kini mempunyai perisian operasi terkini dan Bluetooth 4.2 untuk sambungan wireless yang lebih baik. Ia juga boleh dipadankan dengan Android dan juga telefon pintar iOS. Lebih menarik lagi, peringatan mesra akan muncul pada monitor sebaik sahaja enjin dimatikan, meminta pemilik memeriksa barangan dan anak mereka di belakang.
Ciri-ciri kemudahan lain yang turut disertakan termasuklah penapis kabin N95, cermin sisi automatik, butang pembuka but pada kunci, stereng multifungsi dan tiga port USB.
Sistem keselamatan pula merangkumi dua beg udara, Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD), Brake Assist (BA) dan kamera undur. Varian-varian automatik turut dilengkapi dengan Electronic Stability Control (ESC) dengan Traction Control System (TCS), serta Hill Hold Assist (HHA).
Saga 2022 kini dibuka untuk tempahan atas talian dan di bilik pameran Proton yang sah. Ia boleh didapati dalam lima warna – Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon and Ruby Red.
No Comment