UMW Toyota Motor Jual 6,946 Unit Kenderaan Pada April 2022
Bulan April 2022 menyaksikan UMW Toyota Motor menjual sebanyak 6,868 unit kenderaan Toyota dan 78 unit kenderaan Lexus, menjadikan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 29,393 unit bagi kedua-dua jenama berkenaan.
Menurut UMW Toyota Motor, jumlah jualan itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 11% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Syarikat itu berkata pertumbuhan jualan itu didorong oleh promosi Hari Raya ‘Bersama Lebih Makna’ yang menawarkan manfaat bernilai RM4,000 kepada pelanggan yang membeli Vios dan Yaris.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata pihaknya sentiasa terdorong sokongan yang ditunjukkan oleh pelanggan, terutamanya ketika tempoh Ramadan dan Hari Raya yang sibuk.
“Walaupun dengan pengumuman mengejut Aidilfitri yang jatuh sehari lebih awal dari jangkaan, semua pusat servis kami bersedia untuk membantu pelanggan kami pulang ke kampung. Kami akan terus komited dan menawarkan lebih nilai menerusi inovasi, ditambah dengan teknologi termaju dan ciri keselamatan dalam semua produk kami,” kata beliau.
Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan, UMW Toyota Motor meraikan mereka yang kurang bernasib baik menerusi program Titipan Kasih anjuran Harian Metro. Syarikat itu menghulurkan sumbangan dalam bentuk baju raya bernilai RM150 dan duit raya sebanyak RM60 kepada 50 orang kanak-kanak, serta ‘Kotak Rezeki’ yang mengandungi barangan runcit bernilai RM100 kepada 168 keluarga.
Bagi menjadikan sambutan Hari Raya lebih meriah, UMW Toyota Motor akan mengadakan rumah terbuka ‘Toyota Raya Open House Weekender’ pada 21 dan 22 Mei depan di semua bilik pamerannya di seluruh negara.
Selain pelbagai promosi dan aktiviti menarik, rumah terbuka itu juga menawarkan hadiah kepada pengunjung yang memandu uji mana-mana model Toyota.
No Comment